Perkara utama sebelum memilih bidang yang hendak diceburi, adalah mengenalpasti samaada bidang/matlamat itu diredhai Tuhan atau ada larangan padanya. Sekiranya termasuk didalam perkara yang tiada larangan maka ia tergolong terus didalam perkara yang baik dan tiada keburukan lagi padanya. Itu adalah ‘Analisa awal’ yang mesti dilaksanakan berdasarkan hukum Tuhan. Keburukan yang disangka ada, sebenarnya adalah keburukan2 yang dilakukan oleh manusia itu sendiri didalam pengelolaannya/pengurusannya seperti mengambil mudah, cuai, pentingkan diri, bermuslihat jahat, melakukan unsur penipuan atau sebarang tingkahlaku serta tindakan-tindakan yang tidak diredhaiNya dari segi tutur kata, niat dan perbuatan. Begitu juga dengan perkara-perkara kebaikan yang cuba dijangka dapat dilakukannya. Atau yang dapat dicapainya.
Sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya atau tidak, tentulah kita akan pastikan kaji selidik terhadap kelebihan dan kekurangannya dilakukan terlebih dahulu (biasanya didalam perniagaan antara perkara penting yg diselidiki adalah potensinya).Kaji selidik ini mesti dilakukan dengan mengambil kira dari sudut yang menyeluruh. Setelah keputusan diambil, maka, kita telah pun bersedia untuk melaksanakannya. Lalu, kita pun berada dan berjalan didalam ‘dunia usaha’ tersebut sama ada berniaga, menerima jawatan yang ditawar atau usaha-usaha lain. Justeru itu adalah tidak benar bahawa kita melakukan analisa terhadap apa yg sedang kita laksanakan dan cuba pula untuk menyenaraikan kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukannya. Kebaikan-kebaikan yang mahu disenaraikan itu sebenarnya adalah senarai ‘manfaat/keuntungan semasa’ yang dapat dijangka akan mampu diperolehi. Keburukan-keburukan itu pula sebenarnya adalah ‘halangan-halangan semasa’ yg telah dapat diimbas sebagai bakal ditempuhi. Pengendalian dalam perkara ini sebenarnya berlangsung secara berterusan dari semasa kesemasa. Inilah salah satu dari tanggungjawab yg mesti dipikul khasnya usahawan (bekerja sendiri). Kadang-kala berjaya dalam sesuatu hal dan kadang kala gagal pula pada bahagian yang lain. Semua ini adalah risiko yang wujud secara automatic mengikut aturan Pencipta (Allah SWT) yang mesti ditangani secara keseluruhan baik soal pentadbiran, strategi pemasaran, soal kewangan dan lain2 operasi. Daripada menguruskannya seorang diri atau berkongsi hinggalah ketahap memerlukan ramai pekerja untuk memenuhi kehendak dalam operasi. Kegagalan, kelemahan atau kebosanan terhadapnya menjadi tolok ukur kepada kecekapan dalam pengurusan. Dalam soal ini, memelihara kesihatan akal dan tubuh badan, pengalaman, memiliki ilmu dan sentiasa belajar serta berusaha gigih adalah asas penting. Beberapa kaedah yang lazim digunapakai oleh orang-orang yang telah berjaya boleh dicontohi seperti berfikir secara ‘analytical’ atau mempraktikkan ‘six hats lateral thinking’(Edward De Bono). Begitu juga dengan keputusan-keputusan yang diambil dan tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Semua itu adalah didalam wilayah yang dikuasai oleh manusia. Maka, semua itu akan dipertanggungjawabkan kepada kita dan akan disoal diakhirat kelak.
Perlu diketahui tentang kenyataan bahawa “Sesuatu keuntungan rezeki itu diperolehi kerana kebijaksanaan seseorang atau kerana dia berusaha gigih, adalah suatu pembohongan dan fahaman yang keliru” ( Lihat huraian “Kekeliruan Kefahaman Tentang Rezeki”). Apa yang mesti diyakini adalah berusaha gigih mencari rezeki (yakni melaksanakan hukum sebab-akibat), hukumnya adalah ‘wajib’, bukan mendapatkannya. Sebab berjaya atau tidak mendapatkannya adalah diluar wilayah yang dikuasai manusia. Ianya didalam wilayah yang dikuasai oleh Allah SWT. Ungkapan "Usaha Tangga Kejayaan” adalah benar. Kejayaan tidak semestinya kekayaan. Ramai orang keliru tentang ini. Mereka melabelkan kejayaan sebagai tercapainya kekayaan, kuasa dan kedudukan sahaja.
Untung nasib seseorang ditentukan oleh sikap mentalnya
Sikap mental positif/negatif adalah segala-galanya. Jika seseorang itu melazimkan sikap mental yang negatif, maka natijahnya adalah negatif. Begitulah sebaliknya. Permulaan pengawalan sikap mental ialah motif dan nafsu(keinginan). Tidak ada seorang pun yang melakukan sesuatu tanpa motif/keinginan. Lebih kuat motif/keinginan itu, lebih mudah untuk mengawal sikap mental.
Sikap mental boleh dipengaruhi atau dikawal oleh beberapa faktor:
i. Nafsu keinginan yang membara
ii. Melazimkan minda memilih dan melaksanakan objektif yang positif/negatif.
iii. Hubungan rapat dengan orang lain yang mengaspirasikan komited dalam tujuan positif/negatif.
iv. Cadangan-cadangan spontan dari minda yang positif/negatif.
v. Tahap pengiktirafan pada diri terhadap soal penguasaan mindanya sendiri.
Faktor-faktor tersebut akan lahir dalam diri seseorang bergantung kepada corak kefahaman bulat seseorang terhadap perkara-perkara. Keseluruhan kehidupan ini dipenuhi dengan beribu macam perkara yang perlu dihadapi dan ditangani. Dan setiap perkara itu pula berbeza-beza.
Justeru itu sebagai manusia yang beragama Islam, kita mestilah memiliki sikap mental yang islamik. Kita hanya akan memandang dan memilih kebaikan/positif yang diiktiraf oleh Allah SWT sahaja. Apa yang dikatakan kebaikan disisi Allah hendaklah jelas terlebih dahulu. Malang, terlalu ramai yg keliru. Kebaikan dan keburukan bercampur aduk dalam corak kefahaman bulat mereka. Contohnya ‘membunuh’. Ramai melabelkannya sebagai buruk atau negatif sahaja. Tetapi disisi Allah ianya ditentukan oleh motif. Jika motifnya selaras dengan hukum syarak, maka pembunuhan itu disisi Allah adalah satu kebaikan malah mendapat pahala. Contoh lain adalah sifat belas kasihan. Ianya adalah sifat yang baik namun jika motifnya adalah belas kasihan kepada orang yang dijatuhi hukuman, ia berubah menjadi suatu yang bukan lagi kebaikan. Begitu juga dengan mencuri kerana kebuluran. Tiada hukuman baginya.
Pentingnya Sikap Mental
Sedikit Gambaran tentang Sikap Mental:
1) Sikap mental kita ialah faktor utama yang menarik orang lain kepada kita dalam erti semangat persahabatan. Atau mungkin menjauhkannya, bergantung kepada sikap kita sama ada positif atau negatif. Hanya diri kita sendiri yang boleh menentukannya.
2) Sikap mental penting dalam mengekalkan kesihatan fizikal.
3) Sikap mental ialah faktor penentu-contohnya seperti, hasil yang diterima oleh seseorang daripada doanya. Apabila seseorang berdoa dengan sikap mental yang dikuasai keraguan, kebimbangan atau ketakutan, hanya hasil negatif yang diperolehi.
4) Sikap mental kita menentukan sama ada kita mendapat ketenangan fikiran atau mengharungi kehidupan dalam keadaan kesal dan muram.
5) Sikap mental ialah tali penganjak kepada semua penjualan tanpa mengira apa bentuk sama ada barang dagangan, perkhidmatan atau sebarang komoditi.
6) Seseorang yang mempunyai sikap mental negatif tidak boleh menjual apa-apa pun. Dia mungkin mengambil tempahan daripada seseorang yang mahu membeli sesuatu darinya, tetapi tiada jualan yang dibuat.
7) Sikap mental ialah cara seseorang melazimkan mindanya untuk melalui kesakitan pada fizikal tanpa rasa takut.
Bukti yang paling meyakinkan terhadap kepentingan sikap mental ialah kenyataan bahawa sikap mental ialah satu-satunya perkara yang tidak boleh dicabar terhadap sesiapa yang telah dianugerahkan keistimewaan pengawalan diri yang sempurna padanya. Kita mempunyai keistimewaan untuk mengawal setiap bentuk pemikiran yang dikeluarkan daripada minda kita tanpa ianya dapat disekat. Setiap orang memiliki kuasa sepenuhnya untuk mengawal pemikirannya sendiri. Allah SWT bertujuan menjadikannya aset yang tidak ternilai, dan ia tepat, kerana minda ialah satu-satunya cara individu merancang kehidupannya dan hidup sebagaimana yang dipilihnya.
Sikap mental positif dan tawakkal
Sikap mental positif adalah kefahaman bulat yang sekaligus memaparkan wilayah perbuatan yang dikuasai oleh seseorang itu untuk memproses maklumat, menilai, memilih, membuat keputusan dan melakukan tindakan dalam apa juga perkara. Hal yang sama juga pada sikap mental negatif tetapi ianya tidak perlulah dibahaskan disini.
Seorang badwi datang dan bertanya kepada Nabi SAW, “Apakah unta tersebut dibiarkan sahaja didepan pintu dengan bertawakkal kepada Allah? Ataukah mesti diikat dahulu supaya tidak hilang?”. Baginda menjawab, “Ikatlah untamu dan bertawakkallah (kepada Allah)”.
Dalam hadith ini Rasulullah membahaskan tentang dua masalah iaitu :
1) Kata - “Ikatlah untamu” adalah perbahasan tentang masalah hukum sebab-akibat. Melaksanakan hukum sebab-akibat hukumnya adalah wajib. Mengikat untanya termasuk didalam wilayah perbuatan yang dikuasai oleh badwi tersebut.
2) Kata - “dan bertawakkallah (kepada Allah)” adalah masalah kedua yang dibahaskan oleh Rasulullah SAW berkenaan melakukan tawakkal kepada Allah SWT hukumnya juga adalah wajib.
Hadith itu menjelaskan bahawa melaksanakan hukum sebab-akibat dan melakukan tawakkal kedua-dua hukumnya adalah wajib. Keduanya-duanya juga sentiasa bermula serentak yang mana tawakkal adalah perbuatan hati, sedangkan melakukan hukum sebab-akibat adalah perbuatan fizikal.
Huraian ringkas tentang Qadha dan Qadar.
1. Wilayah perbuatan yang dikuasai manusia :- Iaitu perbuatan yang dapat dilakukan oleh manusia mengikut sesuka hati, tanpa paksaan. Contohnya, berjalan kemana sahaja, makan minum apa jua dan lain-lain lagi. Oleh itu, dalam melakukan perbuatan-perbuatan tersebut, manusia akan dipertanggungjawabkan serta akan dihisab diakhirat kelak.
2. Wilayah perbuatan yang menguasai manusia(dikuasai Allah) :- iaitu perbuatan yang dilakukan diluar kawalannya, baik yang berpunca dari manusia atau pun yang menimpanya.
Sesetengah perbuatan tersebut terikat dengan hukum alam seperti jatuh dari pokok secara tidak sengaja. Termasuk juga soal rupa, bentuk tubuh, warna kulit dan sebagainya.
Sesetengahnya pula tidak terikat dengan hukum alam seperti kemalangan jalanraya atau komputer yang rosak secara tiba-tiba.
Maka, QADHA(keputusan Allah) ialah “Perbuatan yang terjadi, sama ada dari perbuatan manusia ataupun yang menimpa manusia secara terpaksa tanpa dapat dielakkan”. Contoh lain seperti bencana banjir atau ribut taufan. Dalam berlakunya, manusia tidak dipertanggungjawabkan oleh Allah dan tidak dihisab tentangnya diakhirat kelak.
QADAR(ketetapan Allah) pula ialah “Khasiat/keistimewaan yang berbeza-beza, yang diberikan oleh Allah SWT kepada tiap-tiap benda”. Ianya tidak ada kena mengena dengan perbuatan manusia. Semuanya berasal dari Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud : “Dialah Zat Yang Maha mencipta, lalu menyempurnakan ciptaanNya dan menentukan kadar(masing-masing) lalu memberi petunjuk.” (Surah Al-A’la:2-3).
Khasiat-khasiat itu tidak dapat ditukar oleh manusia tetapi dapat dimanfaatkan. Sama ada untuk tujuan baik atau tujuan buruk. Oleh sebab itu manusia akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT diakhirat serta akan dihisab dalam soal memanfaatkan khasiat-khasiat benda yang diciptakan Allah itu. Pisau, misalnya, adakah dimanfaatkan untuk memasak atau membunuh. Begitu juga tentang bagaimana manusia memanfaatkan mata, akal dan hatinya. Semua itu termasuk didalam khasiat benda yang dapat dimanfaatkan oleh manusia. Termasuk juga putaran matahari, bulan dan bintang dalam kata lain seluruh susunan dalam penciptaanNYA. Qadar juga bermakna catatan diLauh Al-Mahfuz. Sedangkan ‘yang ditakdirkan’ pula, adalah sesuatu yang di-catat diLauh Al-Mahfuz. Dengan demikian, Qadar boleh juga diertikan sebagai catatan tentang ilmu Allah SWT. Allah Maha Tahu tentang apa yang telah dan akan terjadi. Tetapi manusia tidak pernah tahu apa yang akan terjadi pada dirinya dan usahanya. Maka keimanan terhadap inilah yang akan mendorong dan membakar semangat seseorang itu untuk terus-menerus berusaha tanpa memperdulikan soal kegagalan, kekecewaan atau putus asa kerana kesulitan dan cabaran yang dihadapinya.
Seorang lelaki datang bertanya kepada baginda Rasulullah SAW “Apakah kita tidak tunduk begitu sahaja wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak, lakukanlah sebab semuanya mengikut aturan.” Riwayat dari Ali bin Abi Talib.
Keyakinan/keimanan kepada Qadar bererti tidak tunduk dan menyerah tanpa mengusahakan hukum sebab-akibat yang menjadi salah satu dari aturannya dalam menentukan keberhasilan usaha. Kerana Maha Suci Allah SWT yang IlmuNya tidak ditunjukkan kepada sesiapa pun. Kekeliruan tentang inilah yang membuatkan ramai orang bertawakkal dan kemudian tidak mahu lagi berusaha.
Ada pula yang bertawakkal dalam beberapa bab hukum dalam ibadat khusus dan urusan seharian mereka yang sebenarnya tidak lain hanyalah masalah tidak menuntut ilmu atau belajar.
Kekeliruan kefahaman tentang Rezeki
Rezeki berasal dari lafaz Ar-Rizqu, dalam bahasa Arab. Jadi, jika menurut bahasa, ia membawa erti “PEMBERIAN”. Menurut syarak, rezeki adalah segala sesuatu yang dapat dikuasai (diperolehi) oleh makhluk, baik yang dapat dimanfaatkan ataupun tidak. Meliputi semua bentuk rezeki sama ada yang halal, haram, positif, negatif, sihat, sakit, kecerdasan berfikir, kesulitan berfikir, cantik, hodoh dan lain-lain, semuanya adalah rezeki.
‘Pemilikan rezeki’ pula, sedikit berbeza, kerana ia boleh menjadi halal ataupun haram yang mana ‘cara memperolehinya’ menjadi ukuran utama. Jika cara memperolehinya halal, maka rezeki itu halal. Begitu pula sebaliknya. Ianya diperolehi mungkin kerana berusaha seperti bekerja, berniaga, menjadi broker atau apa saja termasuk kerja yang diharamkan seperti merompak, menipu dll. Takrifan ini juga meliputi rezeki yang diperolehi secara mutlak(tanpa usaha). Contoh rezeki yang diperolehi secara mutlak(tanpa usaha) ialah seperti pemberian wasiat, waris harta, menerima wang saman yang dibayar dari pihak yang disaman dan sebagainya. Baik ‘rezeki’ mahupun ‘pemilikan rezeki’, kedua-duanya tetap saja disebut sebagai rezeki dan sifatnya pula, tidak kira sama ada dapat dimanfaatkan atau tidak.
Rezeki tidak ditentukan berdasarkan jabatan atau kedudukan seseorang. Juga tidak ditentukan berdasarkan kebijaksanaan akal, ilmu atau lain-lain. Kerana Allah SWT telah memberikannya secara mutlak kepada setiap makhluk. Kalaulah rezeki tertakluk kepada akal, tentulah binatang-binatang telah binasa kerana ketiadaan akal. Berusaha gigih bukan merupakan “SEBAB” yang pasti mendatangkan “AKIBAT”. Iaitu apabila bekerja, pastinya akan mendapat rezeki. Padahal belum tentu.
“SEBAB” bagi rezeki itu, adalah ALLAH SWT, maka pasti akan mendatangkan “AKIBAT”, iaitu rezeki itu pasti diperolehi.
Firman Allah SWT: “Dan dilangit terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan terdapat pula apa telah dijanjikan kepada kamu”. (Surah Az-Zariyat:22)
Yang menentukan banyak dan sedikitnya rezeki tersebut adalah tingkat keyakinan seseorang kepada Allah sebagai Ar-Raziq sebagaimana yang disebutkan oleh hadith Nabi saw:
“Ápabila kamu bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu, sebagaimana Dia telah memberikan kepada burung yang berangkat (pagi) dengan perut kosong dan pulang dengan(perut) kenyang.” (Riwayat At-Tarmizi dan Ahmad)
Usaha seseorang itu tidak mempengaruhi besar atau kecilnya rezeki, tetapi usahanya itu merupakan faktor yang menentukan halal atau haramnya rezeki yang diberi oleh Allah SWT. Kerana itulah ada perbezaan antara rezeki dengan pemilikan rezeki. Maka setiap orang Islam wajib berusaha mencari “Rezeki DiTangan Allah” dengan cara yang tidak dilarang oleh hukum syarak.
Hakikatnya rezeki, baik yang halal mahupun yang haram, kedua-duanya berasal dari Allah SWT, namun status halal atau haram itu adalah usaha manusia yang menentukannya. Maka, seseorang manusia itu akan dipertanggungjawabkan diakhirat keatas cara dia mendapatkan rezekinya. Dengan cara halal atau haram. Adakah dengan berniaga? Atau adakah dengan cara membeli nombor ekor? Seseorang itu dipertanggungjawabkan juga oleh Allah SWT tentang bagaimana dia memanfaatkan rezeki yang diperolehinya itu tadi. Adakah dia membelanjakan kejalan yang Tuhan redha? Atau berfoya-foya? Memberi rasuah? Semua ini dipertanggungjawabkan kepada tiap-tiap individu kerana semua perkara itu merupakan didalam “wilayah yang dikuasai manusia”. Wilayah dimana tiap-tiap individu itu menentukan kehendak masing-masing tanpa campurtangan Allah SWT. Akan tetapi, sama ada banyak atau sedikit, baik atau buruk, positif atau negatif rezeki yang diberikan kepadanya, perkara-perkara ini tidak dipertanggungjawabkan kepada manusia kerana semua itu merupakan “wilayah yang dikuasai Allah SWT”, bukan “wilayah yang dikuasai manusia”.
Sistem Ekonomi Islam
Sistem ekonomi dan ilmu ekonomi adalah dua perkara yang berbeza.
Ilmu ekonomi bersifat universal, tidak terikat dengan aturan dan ideologi tertentu. Ilmu ekonomi adalah hal-hal yang membahas tentang produk, prasarana produk dan peningkatan kualitinya.
Sistem ekonomi pula adalah hukum atau aturan yang membahas tentang pengagihan keuntungan/kekayaan, cara pemilikan serta bagaimana mengelolakannya.
Namun didalam zaman sekarang kedua-dua perkara yang berbeza ini tidak diasingkan. Ianya bercampur-gaul. (kerana keliru & lemah lantas patuh pada sistem barat yang bukan dari Allah).
Dalam hal ini, Islam menetapkan asas sistem ekonominya berdasarkan tiga asas:-
1. Pemilikan
2. Pengelolaan/Pengurusan dan pemanfaatan hak milik
3. Pengagihan kekayaan/keuntungan
Asas pertama: 1. Pemilikan
Pemilikan ertinya “keizinan dari Allah (pembuat hukum) untuk memanfaatkan benda-benda”.
Dalam asas pemilikan pula dipecahkan lagi kepada tiga jenis menurut hukum syarak. Iaitu
i. Pemilikan individu
ii. Pemilikan Am
iii. Pemilikan Negara
-Pemilikan Individu adalah keizinan(authority) dari Allah SWT kepada seseorang itu untuk memanfaatkan benda, sama ada berkenaan benda bergerak seperti motorsikal, kereta, wang, mahupun benda yang tidak bergerak seperti tanah, rumah dan sebagainya. Cara memperolehi pemilikan individu pula adalah dengan:
a. Bekerja, baik dalam bentuk berniaga, makan gaji, bertani dsbnya.
b. Pemilikan individu juga boleh diperolehi kerana seseorang itu mewarisi harta.
c. Mengambil harta orang lain kerana desakan untuk mempertahankan hidup
d. Pemberian Negara secara percuma
e. Harta yang diperolehi tanpa usaha dan pengorbanan seperti hadiah, hibah dan sedekah.
-Pemilikan Am adalah keizinan(authority) dari Allah SWT keatas masyarakat untuk memanfaatkan benda seperti air, elektrik, padang dan lot parking. Kesemua benda yang menguasai keperluan bagi kehidupan asas orang ramai adalah termasuk didalam Pemilikan Am seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik, minyak(bahan api) dan sebagainya.
-Pemilikan Negara pula adalah kekayaan negara yang pentadbirannya diserahkan kepada ketua Negara. Contohnya, zakat, jizyah, kahraj, harta orang-orang murtad yang dihukum bunuh, harta orang yang tidak mempunyai waris, hasil bumi dan lain-lain.
Secara tepatnya definasi Pemilikan adalah ‘cara yang digunakan untuk memperolehi keuntungan/manfaat yang dihasilkan oleh perkhidmatan ataupun benda tertentu.’
Asas kedua: 2. Pengelolaan/Pengurusan dan pemanfaatan hak milik
Pengelolaan/Pengurusan dan pemanfaatan hakmilik atau kita sebut saja dengan istilah ‘Pentadbiran pemilikan’, ialah cara yng wajib dilaksanakan oleh seseorang muslim ketika menggunakan dan memanfaatkan hartanya. Untuk itu Islam telah menentukannya dengan dua cara:
1. Pengembangan harta/hakmilik
2. Pembelanjaan harta/hakmilik
‘Pengembangan harta/hakmilik’ berbeza dengan ‘Sebab Pemilikan’. ‘Sebab pemilikan’ adalah yang berkenaan usaha seseorang yang sebelum itu, belum mempunyai kekayaan. Pengembangan harta/hakmilik pula adalah berkenaan usaha seseorang yang sebelum itu, telah memiliki kekayaan. Dalam soal pengembangan harta/hakmilik, Islam membenarkan seseorang untuk mengembangkan harta miliknya melalui perniagaan, seperti jual-beli, sewa-menyewa dan syarikat, serta mengharamkan riba, menimbunkan harta, menipu, berjudi dan sebagainya. Contoh lain, Islam juga membenarkan pengembangan harta/hakmilik melalui pertanian, seperti memiliki tanah dengan tujuan mengusahakan dan mengharamkan untuk tujuan disewakan. Juga dibenarkan penglibatan dalam industri, seperti mempunyai kilang, berurusniaga produk kilang dan sebagainya. Sungguhpun begitu, hukum kilang itu tertakluk kepada benda yang dihasilkan. Jika produk yang dihasilkan haram, maka hukumnya juga haram. Jika produk yang dihasilkan merupakan barangan yang asasi bagi keperluan hidup orang ramai seperti gula, bekalan air dan petrol contohnya, maka kilang tersebut merupakan kilang yang menjadi hakmilik awam. Bermakna kilang tersebut dibawah kategori ‘Pemilikan Am’. Ianya wajib berada dibawah pengendalian pemerintah sepenuhnya tanpa sedikitpun penglibatan pihak swasta didalamnya.
Mengenai masalah ‘Perbelanjaan harta/hakmilik pula, setiap muslim hanya dibenarkan untuk membelanjakan hartanya dijalan yang dihalalkan oleh Allah SWT sahaja. Perbelanjaan dijalan yang diharamkanNya, walaupun sedikit, hukumnya tetap haram. Contoh perbelanjaan yang diharuskan adalah seperti perbelanjaan untuk dirinya. Perbelanjaan harta dengan tujuan menyambung hubungan persaudaraan, seperti memberi hadiah, sedekah kepada fakir miskin dan yang memerlukan, hukumnya adalah sunat. Perbelanjaan untuk tanggungannya, seperti isteri, ibu-bapa dan anak-anak, hukumnya fardhu. Perbelanjaan untuk membantu keperluan jihad, membeli senjata dan menyiapkan tentera, hukumnya fardhu kifayah. Sedangkan haram hukumnya membelanjakan harta/hakmilik untuk segala hal-hal yang diharamkan seperti merasuah dan sebagainya.
Asas Ketiga: 3. Pengagihan Kekayaan/Keuntungan ditengah masyarakat
Dalam hal ini, Islam telah menentukan hukum-hukum syarak yang dapat menjamin Pengagihan kekayaan/keuntungan ditengah masyarakat secara merata. Antara lain:
i. Mewajibkan zakat
ii. Pemberian hak kepada seluruh anggota masyarakat untuk memanfaatkan ‘Pemilikan Am’
iii. Pemberian Negara secara percuma
iv. Pembahagian harta waris kepada ahli waris
Sebaliknya, Islam mengharamkan:
i. Penimbunan wang atau emas dan perak
ii. Penimbunan barang-barang
iii. Bakhil dan kikir.
Inilah gambaran ringkas tentang sistem ekonomi Islam menurut ketentuan hukum syarak berkaitan dengan masalah mu’amalah.
Dalam mengendalikan usaha-usaha yang kita lakukan didalam kehidupan ini, sebagai orang Islam, semua perkara-perkara diatas yang dari awal pembahasan tadi telah menerangkan hal-hal yang perlu kita sediakan, fahamkan serta laksanakan. Namun harus diingat bahawa tidak semua orang mendapat apa yang dia inginkan. Yang mana sebagai bukti bahawa kuasa memberi rezeki adalah bulat-bulat hak ditangan Allah SWT. Dia berhak untuk memberi kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Meski pun kepada individu yang kufur atau engkar.
Sungguhpun begitu, untuk mengenal pasti punca-punca kejayaan dan kegagalan, kita masih berupaya untuk mengkaji teknik-tekniknya. Ini kerana hal seperti itu adalah masih didalam wilayah yang dikuasai oleh kita dan kita dituntut melakukan peningkatan teknik-teknik tersebut dan mempraktikannya.
Antara Senarai Sebab Utama Kegagalan:-
1. Tabiat tidak tentu-hala menggunakan kaedah, tanpa matlamat atau tujuan tertentu.
2. Suka masuk campur hal orang lain tanpa kaitan yang jelas dengannya.
3. Kurang tujuan utama yang pasti sebagai matlamat hidup
4. Kurang cita-cita, iaitu menyasarkan matlamat impian yang tidak cukup rinci dan maksimum
5. Kurang keghairahan terhadap apa yang dikerjakan
6. Kurang pertahanan diri dalam meneruskan usaha yang telahpun dimulakan hingga ke penghujung
7. Sikap mental yang negative menjadi tabiat tetap
8. Keinginan untuk mendapat sesuatu tanpa sesuatu, contohnya tabiat suka berjudi
9. Kurang pengawalan terhadap emosi amarah
10. Kegagalan mencapai keputusan dengan segera dan pasti serta berpegang kepada keputusan yang dibuat
11. Terlalu berhati-hati dalam perniagaan dan profesionalisme
12. Meremehkan dan kurang berhati-hati dalam semua bentuk amaran
13. Silap memilih rakan perniagaan
14. Tabiat boros tanpa pengawalan perbelanjaan terhadap pendapatan dan perbelanjaan
15. Kegagalan mengawal belanja
16. Kegagalan menggunakan masa untuk peluang keemasan
17. Kegagalan bekerjasama dengan yang lain atas semangat keharmonian
18. Kurang semangat setia dalam berurusan
19. Sifat ego dan bangga diri
20. Tabiat membuat pandangan dan melaksana tanpa pengetahuan fakta pertama yang mencukupi
21. Kurang wawasan dan imaginasi untuk mengenal pasti peluang yang dikehendaki
22. Ketidaksanggupan untuk menerima dan pergi lebih jauh dalam memberi perkhidmatan
23. Tabiat menurut hati dalam membuat gossip
24. Kurang pengetahuan bagaimana hendak mendalami soal peribadatan dan kaedah berdoa bagi menghasilkan natijah yang positif
25. Kegagalan memanfaatkan nasihat orang lain yang pengalamannya selalu diperlukan
26. Kelalaian dalam membayar hutang peribadi
27. Tabiat suka menipu dan mengubah-suai kebenaran
28. Tabiat suka mengkritik pada masa yang tidak memerlukan kritikan
29. Tamakkan harta benda yang tidak diperlukan
30. Kurang keyakinan diri terhadap pertimbangan yang cukup bagi memenuhi objektif yang dipilih
31. Tidak professional- iaitu bertindak seperti sendiri menjadi peguam berhubung perkara kontrak dan undang-undang
32. Tabiat menyokong kenyataan orang lain sebelum menimbangkan risikonya
33. Suka melambatkan sesuatu yang sepatutnya telah disiapkan
34. Tabiat suka melarikan diri daripada keadaan yang tidak menyenangkan sedangkan sepatutnya berdepan dan berusaha menguasai keadaan itu
35. Tabiat menerima bantuan orang lain tanpa memberi balasan terhadap bantuan yang telah diterima
36. Berniat tidak jujur dalam perniagaan ataupun profession.
DUABELAS KEMEWAHAN UNGGUL KEHIDUPAN
Menurut tokoh sains kejayaan yang termashyur Napolean Hill terdapat duabelas perkara yang boleh digunakan untuk menilai kekayaan atau kejayaan yang telah dikecapi oleh kita. Kita nilaikan diri kita sendiri berdasarkan duabelas perkara tersebut dengan tiga tahap sama ada ‘BAIK’, ‘SEDERHANA’ atau ‘LEMAH’. Nilai diri sendiri dengan jujur setahap mana yang kita kuasai pada waktu sekarang dan menjadikannya sebagai alat tolok ukur dari semasa ke semasa dalam usaha mempertingkatkannya. Seandainya semua daripada duabelas senarai ‘kekayaan dalam kehidupan’ yang dibawah ini dapat kita nilai dengan yakin sebagai ‘BAIK’ secara jujur, bererti kita telah pun memiliki “KEMEWAHAN UNGGUL KEHIDUPAN”.
1. Sikap Mental Positif : _____________
2. Kesihatan Fizikal Yang Baik :____________
3. Keharmonian Dalam Hubungan Dengan Manusia :_____________
4. Kebebasan Daripada Ketakutan:_____________(lihat 7 ketakutan asas)
5. Harapan Kejayaan Masa Hadapan :_____________
6. Kapasiti untuk kesetiaan :______________
(kesetiaan dalam meminta dan mengadu kepada Tuhan)
7. Kesanggupan Berkongsi Rahmat Dengan Seseorang:______________
8. Kerja Yang Dilakukan Kerana Minat :______________
9. Minda Yang Terbuka Kepada Semua Perkara :______________
10. Disiplin Diri :______________
11. Kapasiti Untuk Memahami Orang Lain :_____________
12. Keselamatan Ekonomi ( Kewangan) :___________
( Keajaiban peribadi anda, Napolean Hill)
Apa yang perlu diambil berat adalah kesebelasan pertama daripada senarai ini. Kesemua sebelas perkara yang pertama adalah didalam ‘wilayah yang dikuasai manusia’. Sesiapa yang dapat akur dengannya, menerimanya dan melaksanakannya, maka dengan mudah dia akan menarik kemewahan yang keduabelas, iaitu, “Keselamatan Ekonomi”, yang mana satu-satunya dari 12 senarai tersebut yang berada didalam ‘Wilayah yang menguasai Manusia (Dikuasai AllahSWT)’.
7 KETAKUTAN ASAS
1. Takutkan KEMISKINAN
2. Takutkan KRITIKAN
3. Takutkan KEUZURAN KESIHATAN DAN KESAKITAN PADA FIZIKAL
4. Takutkan KEHILANGAN KASIH SAYANG
5. Takutkan KEHILANGAN KEBEBASAN
6. Takutkan USIA YANG TUA
7. Takutkan KEMATIAN
Jika diteliti dari mula penulisan ini, beberapa perkara penting telah disusunkan agar dapat difahami tentang istilah usaha itu sendiri, apa yang boleh diusahakan, apa yang perlu ada pada diri dan huraian-huraian yang berkaitan dengannya dari sudut agama. Sungguhpun ianya tidak begitu terperinci, namun rasanya cukup sebagai bahan bacaan yang boleh diulang-ulang untuk membacanya. Huraiannya yang menggunakan gaya bahasa yang meringkaskan isi kandungan memungkinkan perlu adanya pembacaan yang berulang pada waktu lapang.
Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, (2002), “Luqman Al-Hakim”, Publisher ; Jasmin Enterprise.
Napolean Hill, (2006)"Keajaiban peribadi anda”, Publisher ; SD.
Hafidz Abd Rahman,(1999), “Islam, Politik dan Spiritual”, Publisher ; Hizbt.
28 Ogos 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan