19 Mei 2010

Ngah Ibrahim

Ngah Ibrahim merupakan seorang pembesar Melayu yang menjadi penentang dalam campur tangan British di dalam pentadbiran negeri Perak. Dia dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, dan bersama-sama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin telah dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles. Ngah Ibrahim mati di Singapura dalam tahun 1895.

Nama penuh dan gelaran kebesarannya ialah Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar. Ngah Ibrahim merupakan anak kepada Long Jaafar yang dijadikan Orang Besar Jajahan dengan gelaran Orang Kaya Menteri. Gelaran ini diberikan oleh Sultan Abdullah Mohammad Shah. Long Jaafar juga diberikan kuasa untuk membangunkan daerah Larut. Setelah Long Jaafar meninggal dunia dalam tahun 1857, gelaran dan kuasanya diturunkan kepada Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim mempunyai 3 orang isteri. Isterinya yang pertama adalah anak kepada Laksamana Mohamad Amin.


Ngah Ibrahim membangunkan sebuah kota, yang kini dipanggil Kota Ngah Ibrahim di Matang yang menjadi pusat pentadbirannya. Ngah Ibrahim merupakan Orang Kaya Jajahan, dan mempunyai visi meluas untuk memajukan daerah Larut Matang. Dalam tahun 1872, Ngah Ibrahim telah menggajikan Kapten Tristam Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di dalam wilayahnya. Untuk mengerjakan lombong bijih, Ngah Ibrahim mendapatkan perkhidmatan Kapitan Cina yang membawa kuli dari Negeri China.

Disebabkan wilayah Larut menjadi Anugerah Sultan kepada Long Jaafar dan keturunannya, kekayaan Larut tidak dikongsi bersama dengan Kerajaan Perak. Ngah Ibrahim membina sebuah kota di Matang dipanggil Kota Ngah Ibrahim. Di dalam kota tersebut, Ngah Ibrahim membina sebuah rumah besar (kini menjadi bangunan Muzium Matang). Ngah Ibrahim mengadakan sistem pentadbiran moden di wilayah Larut dan mempunyai pasukan polisnya sendiri, dan mempunyai seorang hakim untuk mengadili kes-kes tuntutan, seorang majistret dan juga Bendahari untuk memungut cukai dan mentadbir kewangan wilayah.

Ketegangan juga berlaku kerana wujud kejadian-kejadian yang dicetuskan oleh imigran-imigran China yang semakin ramai. Ini menyukarkan Ngah Ibrahim untuk mengawal keadaan. Untuk mengatasi masalah ini, beliau menubuhkan Pasukan Polis yang dianggotai oleh 40 orang Melayu. Akan tetapi Pasukan Polis ini gagal mengawal kekacauan-kekacauan dan kegiatan kongsi gelap yang dicetuskan oleh orang Cina.

Ngah Ibrahim tahu ia perlu menguatkan pasukan polisnya. Pasukan polis yang diwujudkan oleh Kapten Tristam Speedy dalam tahun 1873 terdiri dari 110 orang anggota Sikh yang diambil dari wilayah Patiala, Ludhiana dan Ferozepur di Punjab, India untuk menjadi Sepoi. [2] Mereka dilengkapkan dengan senapang dan pistol, dan mempunyai 4 laras meriam Krupps.

Perang Larut Pertama


Menjelang tahun 1861, persaingan di antara pelombong bijih dari kongsi Go-Kuan dan kongsi Si-Kuan panas membara dan meledak menjadi peperangan terbuka di antara kedua kongsi tersebut dalam bulan Julai 1861. Perang ini dipanggil Perang Larut. Pihak British melihat Perang Larut sebagai satu gangguan kepada bekalan bijih timah mereka.

Punca Perang adalah perbalahan mengenai kawalan ke atas saliran sungai ke lombong bijih. Sumber air penting untuk proses perlombongan bijih timah kerana kaedah perlombongan palong digunakan. Kerana tidak puas hati, kumpulan Ghee Hin di Klian Baru diserang oleh kumpulan Hai San di Klian Pauh.

Gangguan bekalan timah menyebabkan pedagang Cina di Pulau Pinang, yang membuat pelaburan besar di dalam industri perlombongan bijih, merasa rimas dan resah, kerana perniagaan mereka kini terjejas. Mereka membuat aduan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengambil tindakan memulihkan keadaan. Tetapi oleh kerana perjanjian 1826 menetapkan supaya Perak ditadbir mengikut adat dan resam Kesultanan Perak, pihak British tidak dapat campur tangan melainkan meminta supaya keamanan dipulihkan agar bekalan bijih timah tidak terganggu.

Akhirnya, disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel Cavenagh masuk campur dan memaksa Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan. Ngah Ibrahim, bagi pihak Sultan Perak, terpaksa membayar $17,447 sebagai ganti rugi kepada kumpulan Ghee Hin

Perang Larut Kedua

Walaupun terpaksa menerima damai, kumpulan pelombong masih tidak berpuas hati. Keadaan tegang bagaikan retak menunggu belah. Masalah yang paling kcil akan mencetuskan perbalahan besar. Dalam bulan Jun 1865, Perang Larut Kedua meletus, kali ini dicetuskan oleh perbalahan semasa berjudi oleh kumpulan ahli-ahli kongsi gelap.

Kumpulan Hai San menawan 14 orang ahli Kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan akhirnya membunuh 13 orang daripada mereka. Tebusan terakhir berjaya melepaskan diri dan memberitahu kejadian kepada kumpulannya. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San, dan membakar bangunan did alam kampung itu dan membunuh 40 orang penduduk. Sekali lagi, bekalan bijih terganggu. Perbalahan merebak sehingga ke Seberang Perai dan Pulau Pinang, dan kumpulan kongsi gelap selain Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San turut terlibat. Siasatan yang dijalankan pentadbir British mendapati kedua-dua Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San bersalah kerana mengganggu keamanan Pulau Pinang dan masing-masing dikenakan denda $5,000 dan beberapa pemimpin mereka di buang negeri.

Perebutan kuasa

Dalam tahun 1871, Sultan Ali, paduka Sultan Perak mangkat dan mengakibatkan perebutan kuasa di kalangan 3 orang pembesar Melayu, iaitu Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah.

Perang Larut Ketiga

Ngah Ibrahim bersungguh-sungguh mahu mengawal keadaan dan mengambil seorang pegawai Inggeris, Kapten Tristam Speedy untuk membantunya mentadbir Larut dengan aman supaya peniaga di Pulau Pinang tidak merungut dan pihak British tidak memberikan tekanan politik. Kapten Tristam Speedy sebelum itu adalah Penguasa (Superintendent) Polis di Pulau Pinang, dan mempunyai rekod cemerlang sebagai seorang pegawai tentera di India, Ceylon dan Afrika. Namun usaha Ngah Ibrahim tidak berhasil.

Perang Larut Ketiga tercetus akibat satu skandal melibatkan Lee Ah Khun, seorang pemimpin Ghee Hin dengan isteri kepada anak saudara Chung Keng Quee. Selepas perhubungan mereka diketahui, mereka ditangkap, diseksa dan dimasukkan dalam satu raga yang digunakan mengisi khinzir dan dihumban ke dalam sebuah lombong tinggal dan dibiarkan lemas.

Kumpulan Ghee Hin membalas dengan dengan membawa 4,000 orang pejuang profesional dari negeri China yang dibawa masuk melalui Pulau Pinang untuk menyerang kumpulan Hai San. Buat kali pertamanya, kumpulan Hai San tewas dan diusir keluar dari Klian Pauh, dan 10,000 pengikut Hai San mencari perlindungan di Pulau Pinang.

Ngah Ibrahim membantu Kumpulan Hai San dan akhirnya mendapat semula kawasan perlombongan mereka di Klian Pauh. Dalam masa itu, Raja Abdullah, salah seorang yang merebut jawatan Sultan menyebelahi Kumpulan Ghee Hin menentang Ngah Ibrahim. Perang Larut kini memecahbelahkan pembesar Melayu menjadi puak-puak yang bersengketa. Ini melemahkan kedudukan pembesar Melayu.

Perang Larut Keempat

Perang Larut Keempat meletus dalam tahun 1873, kurang setahun selepas berakhirnya Perang Larut Ketiga. Selepas Kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, Kumpulan Ghee Hin yang disokong oeh Raja Abdullah menyerang balas dengan pejuang dan senjata yang dibawa dari Singapura dan China.

Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan. Kekacauan merebak ke daerah [[Krian], Pangkor dan Dinding. Pembesar Melayu yang sebelum itu menyebelahi kumpulan Cina yang berbalah terperanjat melihat huru hara akibat perbalahan antara dua Kumpulan Cina tersebut. Kemusnahan yang dibawa oleh 40,000 orang Cina yang berbalah membawa padah besar kepada negeri Perak sehingga melibatkan keluarga diRaja Perak.

Peniaga di Pulau Pinang sekali lagi melihat pelaburan mereka hancur lebur akibat perbalahan dan sekali lagi meminta gabenor Negeri-Negeri Selat mengambil tindakan memulihkan keamanan di Perak agar perniagaan mereka tidak kerugian. Dalam pada itu, Raja Abdullah menyingkir Sultan Ismail daripada takhta Perak dan mentabalkan dirinya sebagai Sultan.

Raja Abdullah pada 30 Disember 1873 mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British untuk menghantar "seorang yang cukup berwibawa untuk membolehkan kewujudan satu sistem kerajaan yang baik di Negeri Perak". William Pickering dihantar ke Larut untuk merundingkan keamanan dengan kaum Cina yang berbalah dan untuk menerima penyelesaian dan timbang tara British. Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor.

Keadaan kian tidak terkawal, dan kekecohan membawa padah kepada pembesar Melayu, kaum Cina dan juga kepada pentadbir British di Negeri-Negeri Selat. Keperluan mengamankan semula negeri Perak kini memberikan sebab kepada British untuk masuk campur dalam pentadbiran negeri Perak. Pada 15 Januari 1874, pasukan tentera British tiba di Pulau Pangkor. Ini memberikan tekanan kepada pihak yang berbalah untuk menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor. Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangan oleh pihak-pihak yang berbalah di atas HMS Pluto, sebuah kapal meriam British.


Perjanjian Pangkor

Sultan Abdullah dari Perak.Keadaan tidak menentu di Larut menyebabkan British campur tangan di Perak. Mereka mengambil kesempatan menggunakan perpecahan orang-orang Melayu disebabkan oleh perebutan kuasa di antara Tengku Abdullah dan Tengku Ismail untuk menjadi Sultan untuk campur tangan di dalam pentadbiran negeri Perak. Tengku Ismail tidak hadir semasa perundingan di Pangkor.

Tujuan British mengadakan Perjanjian Pangkor

Perjanjian Pangkor bertujuan menetapkan beberapa penyelesaian kepada perbalahan-perbalahan yang menjejas keamanan negeri Perak.

Persetujuan Kumpulan-Kumpulan Cina untuk berhenti berbalah

Memutuskan pelantikan Sultan Perak

Mengesahkan kuasa Ngah Ibrahim sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan di Larut Matang dengan dibantu oleh seorang penasihat

Penerimaan seorang Residen untuk mentadbir negeri Perak di dalam semua perkara kecuali perkara-perkara berkaitan dengan adat resam Melayu dan agama Islam.

Pemberhentian perbalahan puak Cina

Perjanjian Pangkor membolehkan pihak British dan pihak-pihak Cina yang berbalah bersetuju dengan Urusan Pangkor (Pangkor Engagement). Persetujuan ini dicapai oleh 26 orang pemimpin Kongsi Gelap Cina. Persetujuan ini Chung Keng Quee menandatangani Urusan Pangkor untuk kumpulan Hai San sementara Chin Ah Yam menandatangani bagi pihak Ghee Hin. Chung Keng Quee dan Chin Ah Yam dinobatkan menjadi Kapitan Cina oleh pihak British. Mana-mana pihak Cina yang melanggar persetujuan berdamai akan dikenakan denda $50,000.

Perlantikan Sultan Perak

Raja Abdullah ditabalkan oleh Pihak British sebagai Sultan di negeri Perak. Raja Ismail yang digulingkan oleh Sultan Abdullah diberikan gelaran sebagai Raja Muda dan diberikan pencen (gaji) bulanan sebanyak $1,000 dan juga diberikan satu jajahan kecil sebagai warisan adat beliau dan keturunan beliau.

Pengesahan kuasa Ngah Ibrahim

Perjanjian Pangkor 1874 mengiktiraf Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim sebagai orang berkuasa di jajahan Larut Matang. Ngah Ibrahim diiktriaf oleh pihak British sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan di Larut, tetapi tidak mempunyai kebebasan dan kuasa mutlak seperti mana yang diberikan kepadanya sebelum itu. Sebaliknya, beliau akan dibantu oleh seorang wakil British diberikan jawatan Penolong Residen untuk mentadbir jajahan Larut. Ngah Ibrahim dan lain-lain pembesar Melayu juga kehilangan hak untuk memungut cukai.

Kapten Tristam Speedy dilantik menjadi Penolong Residen untuk mempastikan keselamatan Larut Matang supaya bekalan bijih timah tidak lagi terganggu.

Pembahagian kawasan perlombongan

Perjanjian Pangkor juga juga membahagikan kawasan perlombongan bijih di antara pihak Ghee Hin dan Hai San. Kawasan Klian Pauh di berikan kepada kongsi Hai San. Klian Pauh kemudiannya diberikan nama Taiping yang memberi makna “Keamanan Berkekalan”. Kawasan perlombongan Klian Baru diberikan kepada kongsi Ghee Hin, yang kemudiannya memanggil kawasan tersebut sebagai Kamunting. Kongsi Ghee Hin kurang berpuas hati kerana mahukan kawasan perlombongan Klian Pauh kerana lebih mempunyai deposit bijih.

Penerimaan pentadbiran British

Ngah Ibrahim kini terpaksa menerima kuasa Pentadbiran British dengan persetujuan penerimaan seorang Residen untuk negeri Perak. Untuk jajahan Larut, Ngah Ibrahim terpaksa menerima pelantikan Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen. Pada mulanya,. Ngah Ibrahim tidak begitu gusar kerana Kapten Tristam Speedy adalah pekerjanya dan semestinya taat kepadanya.

Penentangan pentadbiran British

Untuk mendapatkan hasil bagi mentadbir negeri Perak, Birch mengenakan cukai ke atas perlombongan dan perniagaan bijih di Larut. Antara lain, kuasa Ngah Ibrahim memungut hasil dan cukai di Larut disekat. Sebaliknya, pungutan cukai dibuat oleh Residen British.

Ini menimbulkan marah Ngah Ibrahim kerana beliau beranggapan Ia perlanggaran apa yang dipersetujui di Pangkor di mana dia berkuasa ke atas jajahan Larut seperti sebelum campur tangan British. Tetapi Kapten Speedy lebih taat kepada pihak British dan menguatkuasakan apa yang diperintahkan oleh Residen, termasuk pungutan cukai. Ngah Ibrahim terpaksa akur dengan pengutipan cukai ini kerana Kapten Speedy juga berkuasa ke atas polis bersenjata (yang asalnya diwujudkan oleh Ngah Ibrahim, tetapi digantikan oleh Kapten Speedy dengan polis Sepoi dari Punjab yang hanya taat kepada Kapten Speedy dan bukannya kepada Ngah Ibrahim).

Perasaan marah Ngah Ibrahim ke atas pengenaan cukai oleh Residen British mendorong beliau memberikan sokongan kepada kumpulan pembesar Melayu yang hendak menentang pentadbiran British di Perak. Ngah Ibrahim disokong oleh Laksamana Mohamad Amin, bapa mentuanya. Pengikisan kuasa ini dilihat sebagai penghapusan martabat pembesar (dan Sultan) Melayu di tanah air mereka sendiri.

 Hukuman buang negeri

Selepas satu perbicaraan yang diadakan di Kota Ngah Ibrahim (kini menjadi Markas dan kediaman Kapten Tristam Speedy) Datuk Maharajalela dikenakan hukuman gantung. Oleh kerana tiada bukti kukuh yang boleh menambat Ngah Ibrahim kepada pembunuhan Birch, Ngah Ibrahim, bersama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin dikenakan hukuman buang negeri ke Kepulauan Seychelles bersama-sama Sultan Abdullah. Pada tahun 1877, Ngah Ibrahim dihantar ke Kepulauan Seychelles untuk menjalani hukuman buang negeri.

 Kontroversi

Pada 3 September 2006, seorang lelaki bernama Yacob Ngah Ibrahim yang mengaku anak bongsu Ngah Ibrahim mendakwa Ngah Ibrahim mati kerana sakit tua pada tahun 1936 dan dikebumikan di Kampung Dendang, dekat Beruas dan bukannya di Singapura. Dia dikatakan dilarikan ke Johor oleh Panglima Sameon yang akhirnya membawa nya pulang ke Kampung Tepus, Tanjung Belanja, Parit. Ngah Ibrahim kemudian berpindah ke Kampung Dendang, Beruas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Free Web Hosting