Dilema Wanita
Belajar di peringkat menengah, kemudian ke universiti, setelah itu bekerja sepenuh masa dan kemudiannya ‘double shift”, perkahwinan dan melahirkan anak tidak termasuk keutamaan saya! Saya berkahwin ketika berusia 25 tahun dan dianugerahkan dua orang anak yang jarak usia antara keduanya tidak lebih dari sebelas bulan hingga saya terpaksa berhenti kerja. Keadaan saya yang meninggalkan alam pekerjaan itu menyebabkan pada masa ini saya berhadapan dengan banyak tekanan dari masyarakat, suatu perkara yang menjadikan saya ragu-ragu terhadap kebenaran keputusan yang telah saya buat. Semua ini mendorong saya untuk melakukan penyelidikan berkenaan topik: “Wanita bekerja di luar rumah”. Soalan ini selalu membelenggu saya; adakah apa yang saya usahakan dalam pekerjaan saya ini untuk merealisasikan kepuasan diri, kebahagiaan palsu atau hakiki?
Untuk menjawab persoalan ini saya mesti memahami sebab saya berusaha dalam pekerjaan saya sepanjang hidup saya. Lalu saya sampai kepada jawapan bahawa sebabnya adalah kembali kepada konsep-konsep yang saya ambil dari persekitaran hidup saya dan juga rakan-rakan sebaya saya. Konsep-konsep ini dapat disimpulkan pada wanita itu tugas asalnya adalah seorang pekerja, bukan ibu ataupun pengatur rumahtangga. Tugas dan gaji khususnya itulah yang akan merealisasikan kepuasan dirinya dan kebahagiaannya. Saya tidak mencela kedua ibu bapa saya kerana telah mendidik saya dengan konsep-konsep yang salah ini kerana ini merupakan natijah semulajadi yang terhasil kerana umat berhadapan dengan perang budaya kapitalis secara luarbiasa dengan pelbagai cara dari media, iklan, episod drama dan juga filem-filem, metodologi pendidikan dan program kebudayaan, pimpinan pemikiran dan politik yang disuburkan melalui tapak tangan Barat dan dipelihara dengan baik oleh mereka, barangkali juga dalam asuhan mereka.
Sementara kita umat Islam ini sesungguhnya menjadikan syariat sebagai tolok ukur perbuatan kita. Agar kita dapat mengeluarkan sesuatu hukum syarak, kita hendaklah mengetahui realiti supaya hukumnya dapat diterbitkan. Oleh itu kita bermula dari awal dengan mengetahui kewajipan asal bagi wanita kemudian baru beralih pada kewajipannya sebagai isteri, hukum syarak berkenaan tugasnya, syarat-syarat ia bekerja di luar rumah dan masalah sebenar berkaitan tugas ini.
Hukum asal wanita itu adalah menjadi ibu dan pengatur rumahtangga. Ia adalah kehormatan yang wajib dijaga:
Sesungguhnya perkataan pengatur rumahtangga tidak bermaksud bahawa wanita adalah pembantu rumah atau khadam bahkan ia bermaksud bahawa wanita adalah pengurus rumahtangganya dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya sepertimana yang disebutkan dalam hadith:
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap dari kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya.”
Maka wanita adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya. Dia merupakan pemimpin dalam mendidik anak-anaknya, dalam mengajarkan mereka, membaguskan akhlak mereka, membina pemikiran mereka. Supaya wanita dapat melakukan peranan ini, dia hendaklah menyiapkan dirinya dengan menuntut ilmu dan pengetahuan syarak dengan kadar yang diperlukannya dan yang membolehkannya melaksanakan kewajipan ini. Lelaki pula, sama ada bapa, abang atau suami wajib menyediakan perkara-perkara tersebut untuknya. Sementara keadaan dirinya yang merupakan kehormatan yang wajib dijaga, Islam telah menjadikan kematian dalam rangka memelihara kehormatan ini sebagai syahid. Manakala fungsinya sebagai ibu adalah dirinya yang merupakan tiang dalam membina keperibadian adalah satu perkara yang bukan teori atau khayalan. Allah SWT ketika hendak memberikan contoh kepada orang-orang yang beriman, memilih untuk mencontohkannya dengan seorang wanita “Dan dijadikan contoh oleh Allah kepada orang-orang yang beriman, isteri Firaun” kemudian Dia berfirman: “Dan Maryam anak Imran”. Hal ini meskipun menunjukkan kepada sesuatu perkara, ia sesungguhnya menunjukkan keagungan peranan wanita dalam membina keperibadian-keperibadian. Demikian juga apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW: “Ambillah setengah agama kamu dari al-Humaira’ ini, iaitu ummul mu’minin Aisyah.”
Tidak ragu lagi bahawa hal ini menetapkan tanggungjawab atas wanita, iaitu hendaklah ia pertama-tama sekali melihat kepada dirinya dengan pandangan yang mendalam, yang benar hingga dia dapat melihat dan merasakan keagungan tempatnya dalam Islam dan memahami bahawa ia merupakan nadi kehidupan dalam keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya dia berkhidmat kepada urusan rumah dan kebaikan keluarganya, dan dialah yang bertanggungjawab supaya Allah itu dingati dengan banyak di rumahnya. Allah disucikan dan dipuji pada pagi dan malam hari di rumahnya. Solat dilaksanakan, dan al-Qur’an pula dibaca di dalamnya. Sementara anak-anaknya pula dididik seperti ia mendidik dirinya untuk memikul dakwah, ketaatan, berkorban dan memberi di jalan Allah, sementara gangguan dari manusia atau pihak pemerintah tidak dapat memudaratkannya.
Sesungguhnya kewajipan isteri terhadap suaminya banyak sekali sepertimana jua tanggungjawab suami terhadapnya. Belum dikira lagi semua kewajipan syaraknya sebagai manusia; seperti solat, puasa, zakat, haji, berlaku benar, menunaikan amanah, menutup aurat, taat kepada suami, berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahmi, menuntut ilmu, muhasabah pemerintah, jihad defensif, melakukan amar ma’ruf nahy munkar, memikul dakwah, membai’at pemimpin umat Islam, melazimi berbuat taat dan banyak lagi. Ini adalah sebahagian kefardhuan yang berkaitan dengan wanita dan yang meliputi semua aspek kehidupan termasuk: ibadat, muamalat, uqubat, makanan, pakaian dan akhlak. Oleh itu, peranan wanita Islam tidak terhad di rumah sahaja meskipun keibuan dan tugasnya di rumah adalah tugas asalnya, tetapi menjangkau kepada semua aspek kehidupan Islam.Thank You Allah
Kewajipannya sebagai isteri boleh diringkaskan seperti berikut:
1. Mentaati suami dalam perkara kebaikan:
a. Rasulullah SAW telah memerintahkan hal tersebut: “Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, ia akan masuk syurga.”
b. Allah SWT juga berfirman: “Seorang lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita dengan kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan terhadap harta yang dinafkahkan oleh mereka.” Juga, “Dan bagi lelaki itu satu darjat atas kaum wanita.” Kepimpinan suami atas isterinya adalah kepimpinan berupa pemeliharaan, bukan kepimpinan pemerintahan. Si isteri diwajibkan untuk taat. Suami wajib menafkahinya mengikut yang makruf dan memerintahkannya dengan perkara yang membawa kepada mentaati Allah Ta’ala dan si suami tidak sekali-kali memiliki kuasa ke atasnya jika dia memerintahkannya untuk berbuat maksiat kepada Allah. Na’uzubillah.
c. Memelihara kemuliaannya serta perasaannya dengan menjaga matanya, telinganya dan perasaannya. Janganlah dia melihat pada isterinya, di rumah selain yang dapat menyukakannya dan tidak mendengar melainkan perkataan yang diredhai dan juga tidak menerima tetamu yang tidak disukai oleh suaminya.
d. Menjaga agamanya dan kehormatannya. Hal itu dilakukan dengan menjauhkan diri dari bertabarruj dan menayang dirinya kepada lelaki asing di dalam dan luar rumah. Seorang wanita tidak akan menunjukkan perhiasannya melainkan kepada suaminya. Wanita solehah adalah yang sentiasa beribadat kepada Allah, memastikan agar suaminya menerapkan Islam pada dirinya, keluarganya dan hidup dengan dakwah dan tingkahlaku Islam.
2. Melaksanakan pengurusan rumah tanggga menerusi:
a. Berkhidmat kepada suami dan menunaikan permintaannya yang berupa perkara maknawi dan materi.
b. Memerhatikan pandangan serta pendengaran suami agar sentiasa melihat rumah dalam keadaan bersih, teratur dan sebagainya
c. Menjaga harta suaminya dan memeliharanya meski apa jua jenisnya. Ia tidak boleh membelanjakan harta suaminya tanpa izinnya.
d. Berusaha untuk memperoleh keredhaannya dan memasukkan rasa gembira dalam hatinya. Jika dia pulang ke rumah, disambut dengan keadaan bersih dan berhias.
3. Mendidik dan membesarkan anak-anak:
a. Wanita hendaklah mendidik anak-anaknya dengan baik, iaitu sabar, lemah lembut dan belas kasihan. Janganlah dia memarahi anak-anaknya di hadapan suaminya. Jangan mendoakan keburukan terhadap mereka. Jangan mencela atau memukul mereka kerana sesungguhnya hal itu dapat menyakiti hatinya. Tambahan pula mendoakan keburukan terhadap anak-anak adalah satu perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: “Janganlah kamu doakan keburukan terhadap diri kamu, dan janganlah kamu doakan keburukan terhadap anak-anak kamu, janganlah kamu doakan keburukan terhadap harta kamu, kerana (tatkala kamu berdoa) mungkin tepat pada waktu mustajab, lantas Allah kabulkan doa kamu ( membuatkan kamu menyesal).” [HR Abu Dawud].
b. Hendaklah mendidik anak-anaknya mengenai bersuci, menjaga kebersihan, memelihara diri, berani, tidak bercakap kosong agar mereka tumbuh sebagai umat Islam, hidup dengan Islam dan untuk Islam. Allah akan memperbanyakkan kebaikan bagi mereka dalam masyarakat dan Rasulullah SAW membangga-banggakan mereka dan yang seperti mereka di akhirat kelak.
Kita simpulkan dari semua ini, bahawa kewajipan wanita sebagai manusia, isteri dan ibu adalah banyak dan rumit. Apatah lagi jika ditambah semua itu dengan tugasnya di luar rumah untuk tempoh masa yang panjang hingga lapan atau sembilan jam baru pulang ke rumah. Ia menantikan siapa yang akan melayannya, bukan dia yang melayan suami dan anak-anaknya! Terhasillah dari situ masalah-masalah rumahtangga, perkelahian dan pertengkaran disebabkan tekanan melampau dan keletihan yang dideritai oleh wanita. Jika Allah telah menyamakan ganjaran wanita yang memelihara rumahtangganya dan ahli keluarganya dengan ganjaran mujahid maka ini sesungguhnya menunjukkan tahap kepentingan tugas ini serta menunjukkan bahawa ia adalah tugas asasi yang disediakan untuk wanita.
Diriwayatkan bahawa Asma’ bint Yazid ibn as-Sakan r.a datang menemui Nabi SAW dan bertanya: “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku jurucakap kaum wanita Islam. Mereka semua berkata dan berpendapat sepertiku. Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah mengutusmu kepada kaum lelaki dan juga perempuan. Kami telah mempercayaimu dan mengikutimu. Dan bahawasanya kami ini, kaum wanita, terhad bilangan kami, sentiasa duduk di rumah. Dan bahawasanya kamu kaum lelaki , telah diberi kelebihan dengan solat Jumaat, dan menyaksikan jenazah. Apabila mereka keluar untuk berjihad, kamilah yang menjaga harta benda mereka dan memelihara anak-anak mereka. Tidakkah dapat kami berkongsi dengan mereka dalam pahala ini?” Sebaik sahaja jurucakap wanita ini habis dari pengaduannya, Rasulullah menoleh kepada para sahabatnya, seraya berkata kepada mereka: “Pernahkah kamu mendengar pembicaraan seorang wanita yang pandai mengemukakan masalah dalam agamanya daripada wanita ini?” Para sahabat menjawab serentak: “Kami tidak sangka ada seorang wanita yang dapat mengemukakan permasalahan seperti ini, wahai Rasulullah!” Rasulullah lalu menoleh kepada wanita itu seraya berkata: “Beredarlah wahai Asma’! Dan beritahulah kepada kaum wanita yang lain, bahawasanya penjagaan seorang wanita kepada suaminya, dengan mencari keredhaannya, dan membuat segala yang disukainya itu adalah menyamai semua itu.” Lalu beredarlah Asma’ sambil bertahlil dan bertakbir memberitahu khabar gembira mengenai pernyataan Rasulullah SAW kepadanya itu.”Al-Sirah Al-Nabawiyah
Wanita bekerja adalah mubah:
Sesungguhnya kerja wanita dan keupayaannya merupakan soal individu yang saling berbeza antara wanita. Merupakan satu kesalahan untuk menjadikan keadaan ini umum kepada semua wanita. Terdapat wanita yang telah bercerai, mandul dan terdesak memerlukan duit dan perlu bekerja. Semua maklum bahawa terdapat penyelesaian kepada semua masalah ini. Wanita dalam Islam meski bagaimana kedudukannya ada orang yang akan memelihara dan menyaranya sama ada bapa, suami, adik-beradik lelaki, anak atau salah seorang dari anggota keluarganya, atau negara, jika tiada sesiapa yang boleh menyaranya. Jika dia ingin bekerja maka diperbolehkan. Kerana ia adalah mubah. Tidak disyaratkan sama ada ia memerlukan harta tetapi yang penting ialah kerja tersebut tidak bertentangan dengan tugas asalnya yang merupakan kefardhuan, iaitu mendidik anak-anaknya, memelihara mereka, menguruskan suaminya dan rumahtangganya.
Wanita sebagai pengatur rumahtangga, isteri dan ibu akan memperoleh ganjaran yang besar sama ada kerjanya di luar rumah itu untuk kepuasan dirinya, ia adalah mubah. Jika ia melakukannya, ia tidak memperoleh ganjaran melainkan jika untuk menolong orang lain atau mengemban dakwah. Jika dia meninggalkan semuanya itupun tidak akan dibalas dosa. Manakala jika dia memilih antara kefardhuan, iaitu menjadi ibu dan pengatur rumah tangga dan kerjanya di luar rumah semata-mata untuk memperoleh kepuasan diri dan memilih untuk bekerja dengan mengorbankan pemeliharaan keluarga dan anak-anaknya, ia akan mendapat dosa besar kerana hal itu!!
Kembali kepada syarak di mana ia menjadikan tugas memerintah kepada lelaki sahaja. Kita juga dapati ia menjadikan pemeliharaan anak kepada wanita sahaja. Oleh itu hendaklah kerja-kerja yang berkaitan dengan wanita sebagai wanita diwakilkan kepada wanita dan kerja-kerja yang berkaitan dengan lelaki sebagai lelaki diberikan kepada lelaki.
Dari sini kita dapati bahawa syarak membolehkan wanita melakukan semua kerja yang bersesuaian dengan tabiat kewanitaannya selain kerja-kerja yang berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan. Mereka dibolehkan untuk menjadi pegawai, jururawat, doktor, jurutera, peguam dan dibolehkan untuk melakukan urusniaga dan jual beli dan melakukan akad, dan penghakiman, memiliki semua jenis pemilikan dan mengembangkan hartanya, melaksanakan urusan hidupnya sendiri, menjadi rakan kongsi, penyewa dan menyewakan kepada orang lain, urusan hartanah dan lain-lain dan menjalankan semua muamalat. Tetapi semua itu di dalam syarat-syarat tertentu yang akan kita sebutkan nanti.
Masyarakat kita sangat memerlukan kaum wanita yang melakukan tugas-tugas yang lebih utama dilakukan oleh wanita dan kadang-kadang kerja ini menjadi fardhu kifayah untuknya. Umpamanya kita memerlukan para jururawat, doktor dan itu lebih utama dari aurat kaum wanita dan anak-anak perempuan kita tersingkap di hadapan lelaki asing. Kadang-kadang guru pelajar perempuan, khususnya jika tugasnya dalam pengajaran menyumbang kepada penanaman konsep-konsep yang betul. Terdapat pelajar-pelajar muslim yang miskin dan jahil yang tidak dibesarkan dengan pemahaman-pemahaman Islam di rumah mereka maka, yang lebih utama kaum wanita ini tidak dibiarkan mengemban pemikiran kebebasan, demokrasi dan mengajar fesyen dan gaya moden. Jika wanita Islam mampu melaksanakan tugas-tugas tersebut di samping tugasnya di dalam rumah, ia akan memperoleh ganjaran yang besar.
Justeru, kerja wanita adalah aspek individu yang berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain dan dari satu situasi seorang wanita kepada situasi yang lain. Yang penting di sini, hukum syarak (seruan pembuat hukum (Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba) dan as-Syari’ menyatakan bahawa tugasnya di luar rumah adalah mubah tetapi berdasarkan syarat-syarat tertentu.
Syarat-syarat wanita bekerja di luar rumah:
Benar bahawa syarak membolehkan wanita bekerja dan membolehkan ia keluar ke pasar-pasar untuk menunaikan keperluannya, tetapi ia mensyaratkan kepadanya beberapa perkara sebelum ia keluar yang secara ringkasnya:
1. Menundukkan pandangan dan tidak bercampur gaul tanpa keperluan kerja, menjauhkan tempat-tempat syubhat dan berhati-hati dari semua itu: Ia merupakan perkara yanga amat susah. Dalam ketiadaan daulah Islam yang mana kita dapati bahawa pejabat-pejabat dalam syarikat-syarikat mewajibkan adanya para pekerja dalam satu bilik lebih dari sembilan jam secara berterusan yang memberi kebebasan untuk memandang dan berbincang di luar urusan kerja. Lebih utama adalah memisahkan tempat-tempat wanita dan lelaki di dalam syarikat itu sendiri dan hubungan antara keduanya dilakukan betul-betul pada ketika tugas mereka memerlukan hal tersebut.
2. Menjaga kesopanan wanita dengan memakai pakaian syarak yang sempurna dalam kehidupan umum. Tidak ragu lagi kerana wanita keluar dalam keadaan sopan dan serius akan menghalang pandangan mereka yang ada keraguan dalam hatinya, iaitu orang yang tidak takut kepada Allah.
3. Mencegah dari berkhalwat. Khalwat adalah apabila seorang wanita dan seorang lelaki berada di suatu tempat yang tidak membolehkan seorang yang lain untuk masuk tanpa izin keduanya. Contohnya seorang pengurus mengadakan mesyuarat dengan seorang pegawainya dengan menutup pintu biliknya serta meminta agar mereka tidak diganggu oleh sesiapa. Yang dituntut adalah mesyuarat diadakan di dalam bilik tetapi pintunya dibiarkan terbuka hingga sesiapa yang lalu di hadapan bilik dapat melihat mereka.
4. Menghalang wanita dari melakukan sebarang kerja yang membahayakan akhlaknya atau merosakkan masyarakat. Maka wanita dilarang untuk bekerja dalam pekerjaan yang bermaksud untuk mengeksploitasi kewanitaannya seperti bertugas dalam pasaraya bagi tujuan menarik pelanggan, di kedutaan yang bertujuan menggunakan kewanitaannya untuk memperoleh tujuan politik, pramugari kapal terbang untuk menarik pelanggan, setiausaha yang berpenampilan menarik agar mereka dapat berlaku lembut dengan pelanggan, tetamu dan malah pengurusnya juga!
5. Menghalang wanita melakukan sebarang kerja yang haram seperti bekerja di bank-bank dan syarikat-syarikat kapitalis dan syarikat bursa saham serta tempat-tempat menjual arak dan daging khinzir.
Hal ini mengingatkan kita bahawa masyarakat hari ini memandang wanita terhad kepada materi, jasad dan kepentingan semata. Bentuk tubuh si gadis merupakan faktor penting, bahkan menjadi syarat asas untuk diterima bekerja. Begitu juga, sistem sekarang ini tidak menjamin hak-hak ibu dalam hal melahirkan anak, menyusu dan menjaga mereka. Biasanya mereka diberikan cuti empat puluh hari sahaja untuk menguruskan hal bayinya itu! Banyak syarikat lain sebenarnya membuang pekerja wanita yang hamil dan ada juga yang langsung tidak mengambil pekerja wanita! Oleh yang demikian menjadi bertambah sukar bagi wanita untuk mencari kerja dengan mengambil kira tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain.
Sistem yang zalim ini serta situasi yang rosak ini menyusahkan urusan-urusan kaum wanita. Kewujudan kita dalam masyarakat yang tidak menjaga perkara-perkara yang haram dan tidak komited dengan pengaturan hubungan antara lelaki dan wanita agar bersesuaian dengan ajaran-ajaran agama kita yang suci, menyukarkan lagi kerja wanita dan menuntut kesabaran dan kecekalan yang lebih. Hal itu menyebabkan ramai pemudi lebih suka tinggal di rumah (hingga tidak berkahwin pun) daripada bekerja dan berhadapan dengan gangguan dan provokasi setiap hari. Sedangkan diketahui bahawa ramai wanita yang berkesanggupan untuk menyesuaikan kedua-dua hal tersebut meskipun hal itu menuntutnya agar mengerahkan usaha dengan lebih besar dan berkali ganda.
Di akhir kajian ini kita dapat simpulkan: bahawa asal permasalahan sekitar wanita bekerja adalah kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita disebabkan kefahaman yang rosak yang tersebar dan bercokol dalam pemikiran kita. Hal itu merupakan natijah dari tidak diterapkannya hukum-hukum Allah. Oleh itu hendaklah kita letakkan keutamaan kita untuk menghilangkan kerosakan ini dan bekerja untuk mengubahnya melalui perubahan konsep-konsep mengenai kaum wanita dalam masyarakat kita dan meminta semua orang untuk mengembalikan pemerintahan sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah supaya keadilan kembali dan ketenangan, kebahagiaan dan kegembiraan meliputi ahli keluarga kita. Kesengsaraan wanita tidak terletak pada isu dia bekerja di luar rumah semata, dan ini berbeza antara seorang wanita dengan yang lain. Penderitaan sebenarnya terletak pada realiti rosak yang masih kekal dalam keadaan rosaknya. Penderitaan sebenarnya dan penderitaan semua manusia adalah kerana Islam tidak dijadikan roda yang kehidupan itu dapat disesuaikan dengannya.
Kepada saudari yang bekerja:
Di akhir kajian saya ini, keadaan saya telah menjadi stabil dan tenang serta lega hati saya kerana saya melakukan peranan sebenar saya pada hari ini, iaitu asas Allah menciptakan saya sebagai wanita. Saya tidak perlu untuk bekerja di luar rumah untuk merealisasikan kepuasan diri dan membuktikan kecerdikan saya. Pada hari ini wahai saudari-saudari saya ada di rumah, memberi pelukan hangat, tangan yang mesra terhadap suami, anak-anak, ahli keluarga dan mahram-mahram saya. Dan inilah peranan yang besar dan penting berlawanan dengan sangkaan-sangkaan yang dilemparkan oleh musuh Islam kepada kita.
Pesanan buat saudariku yang bekerja:
Sekiranya saudari tidak terdesak untuk bekerja, dan jika saudari mempunyai rumah, suami dan anak-anak, mereka lebih memerlukan saudari dari sebarang kerja lain. Mereka lebih penting kepada saudari dari harta maka tinggallah dengan mereka, wahai kaumku untuk mengurus dan mendidik mereka. Peliharalah rumah saudari, suami dan anak-anak saudari serta sediakan buat mereka kehidupan yang tenang dan penuh kasih sayang. Rumah saudari lebih utama buatmu saudariku.
Seterusnya serahkan diri saudari untuk bekerja di jalan Allah dan menegakkan kalimah-Nya. Allah adalah yang lebih penting dan lebih manis dari sebarang kerja lain yang saudari telah lakukan. Umat memerlukan saudari. Kaum wanita lain yang dizalimi, yang ditindas dan sesat memerlukan saudari. Kewajipan kitalah kaum wanita seperti kaum lelaki untuk bekerja bersama mereka untuk melakukan perubahan supaya kita mendapat keredhaan Allah dan kemuliaan di dunia dan syurga yang kekal di akhirat.
Sumber: Terjemahan dari Majalah Al Izzah, Lubnan. Edisi ke 8
12 November 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
salam sejahtera, singgah sekejapa kat blog ni ziarah menziarah satu kemestian di dalam berblogging. Pada masa sekarang adalah sukar kalau wanita tidak bekerja dan bukan semua lelaki mampu menanggung keperluan keluarga tanpa bantuan isteri tapi mengambil kesempatan di atas kerelaan isteri mencari nafkah juga adalah di larang.
BalasPadamFollower u ke 2 dan saya juga memerlukan follower di blog saya.