( Satu huraian )http://www.dirham2dinar.com/index.php?option=com_content&view=article&id=128:kekeliruan-takrif-riba&catid=34:content
Sesetengah orang Islam yang tetap mahu menggunakan bank tetapi menghadapi masalah untuk mendapat manfaat darinya mula memikirkan idea penubuhan bank Islam. Malangnya mereka mengekalkan banyak transaksi yang terdapat dalam bank yang mengamalkan riba’ dan transaksi haram yang lain tetapi mereka menggunakan istilah tertentu untuk mengaburi transaksi yang mereka jalankan. Apa yang dianggap bank Islam sebenarnya masih lagi mengamalkan transaksi yang melibatkan riba’. Idea penubuhan bank Islam timbul pada 1960an (h. 159, Bank Islam).
http://www.dirham2dinar.com/index.php?option=com_content&view=article&id=128:kekeliruan-takrif-riba&catid=34:contentOmar Mohd Abu dan orang-orang yang mempertahankan gagasan Bank Islam mendakwa bahawa bank Islam telah ditubuhkan dengan kedatangan Islam. Malah mereka mengatakan bahawa sejak penghijrahan Rasulullah saw ke Madinah pada tahun 621M, para peniaga seperti Abdullah Ibnu Omar, Ibnu Abbas, Abdullah bin Zubair dan Musaab bin Zubair mula mendatangi Rasulullah saw untuk mandapatkan khidmat nasihat dalam urusan bon matawang (h. 160,Bank Islam)
Sejak Bank Islam diperkenalkan serata dunia, sudah banyak perbincangan yang dilakukan mengenainya. Segolongan umat Islam begitu teliti dalam hal ini. Mereka meraguinya kerana melihat tidak ada bezanya antara bank Islam dengan bank riba’. Yang berbeza ialah penggunaan istilah-istilah arab untuk mengantikan untuk menggantikan istilah-istilah barat. Tanpa berfikir panjang ramai orang Islam yang gembira kerana mereka mempunyai pilihan selain bank konvensional(istilah bagi bank riba’).Ramai yang tidak mahu mendengar perbahasan tentang hakikat bahawa bank Islam sama sahaja dengan bank riba’. Mereka mahu mendapatkan manfaat dari bank Islam dan merasakan kritikan terhadap bank Islam mengganggu urusan kehidupan perbankan mereka. Ada yang menepis dengan mengatakan bahawa idea bank Islam telah mendapat sokongan para ulamak.Bagi mereka, golongan yang mendedahkan bahawa bank Islam sama sahaja dengan bank riba’(konvensional) adalah mereka yang tidak berilmu dan bilangan mereka tidak ramai. Kajian terhadap pengkritik bank Islam mendapati terdapat ulamak, sarjana dan cendekiawan yang jujur telah mengkritik idea bank Islam yang dilihat memperalatkan Islam untuk kepentingan golongan korporat. Diantara pengkritik tersebut dan karya mereka adalah:
1. Abdullah Saeed (1996) Islamic Banking and Interest: A study of riba’ and its Contemporary Interpretation, diterjemahkan oleh penerbit Paramadina dengan judul “Menyoal Bank Syariah, kritik atas Interpretasi Bunga Bank Kaum Neo-Revivalis”. Abdullah Professor di Melbourne Institute of Asian Languages and Societies,University of Melbourne, Australia.
2. Umar Vadillo (2005) Bank Tetap Haram, Pustaka Zaman.Beliau lulusan Heidegger University of Freiburg, German.Pensyarah Universiti di Malaysia, Indonesia dan Morocco. Merangkap sebagai ‘President Islamic Trade Organisation and Islamic Mint’ sejak 1995. Semenjak 2003, beliau juga Naib Pengerusi E-Dinar. Terbitan utama beliau adalah: Islamic Critique of Economics (1997), The End Of Economics (1997), The Return of The Gold Dinar (1997), The Esoteric Deviation in Islam (2003).
3. Zaim Saidi & Imran N. Hosien, (2003) Tidak Islamnya Bank Islam: Kritik Atas Perbankan Syariah,Pustaka Adina. Imran adalah seorang ulamak.Zaim adalah seorang Pengarah PIRAC (Public Interest Research and Advocacy Centre). Zaim juga menulis buku “Melawan Dollar dengan Dinar”.
4. Hermin Sriwulan, Mempertanyakan Keislaman Bank Syariah, http:www.alhikmah.com. Beliau adalah penyelidik di EI-SAS (Lembaga Studi dan Sosial, Malang, Indonesia).
5. Professor Dr. Muhammad Anwar (2002), Islamicity Banking Modes of Islamic Banking, penerbit Universiti Islam Antarabangsa. Professor Muhammad Anwar telah manjalankan kajian terperinci keatas bank Islam termasuk bank Islam di Malaysia dan telah menghasilkan sebuah buku yang terbaik dalam perkara ini yang diberi judul”Islamicity of Banking and Modes of Islamic Banking” yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Islam Antarabangsa.
Profesor Dr. Zuhaimy Ismail, di antara karyanya ialah “ Bank Islam tak serupa tapi sama (dengan bank konvensional)”, h. 11-17,Majalah “Sinar”, Madinah Distributor). (PhD in Management Science, Loughborough University, 1994). “Dr. Zulhaimy has published eight books on Mathematics, Statistics and Operational Research, as well as articles in more than 50 academic journals. He has undertaken fifteen years of active research on Islamic methods of financing , and is currently the Chairman of the Industrial Survey Research and Data Analysis Group (ISDAG) at the Universiti Teknologi Malaysia”.
Dr. Muhammad Uzair (Some Conceptual and Practical Aspect of Interest Free Banking , in Studies in Islamic Economics, (ed) Khurshid Ahmad, 1976) mengatakan konsep bank tanpa bunga (bank Islam) boleh menghasilkan keuntungan yang jauh lebih besar dibandingkan bank konvesional iaitu keuntungan mencapai 50% hingga 75%. Bahkan dalam kes Hiyal (transaksi atau jual beli khayalan yang dilakukan oleh bank “Islam”), misalnya mendatangkan keuntungan yang jauh lebih besar bagi satu pihak tetapi merugikan pihak lain. (Harry A. Azis, Riba’ dan Ketidakadilan (2), Koleksi Diskusi Isnet ,Februari 1999).
Zaim Saidi berkesimpulan “perbankan, dengan label syariah atau bukan, selama kegiatannya melibatkan sewa menyewa wang dan penciptaan kredit, tiada lain adalah system riba’. Jika demikian, maka perbankan syariah adalah istilah yang bertentangan”. Ketika ditemuramah oleh akbar “Jawa Pos”, Zaim mengatakan, perbankan konvesional dikenali sebagai lembaga riba’. Lantas seperti cendawan munculnya unit-unit perbankan syariah yang berindukkan kepada bank-bank konvesional untuk mengorak sentimen pemilik akaun bank. Menurutnya ini adalah tipu muslihat pemasaran. Kalau kita lihat secara substantial, antara perbankan konvesional dengan perbankan syariah memang tidak 100% sama tetapi 99.9% sama saja. Di akhir temuramah itu Zaim menegaskan, “ Menurut saya , ketika Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa bahawa bunga bank adalah riba’ , sebetulnya itu juga kurang jelas dan kurang radikal. Yang jelas adalah, semua bank, termasuk bank syariah, adalah sistem riba”
( akhbar “Jawa Pos” wartawan: Nong Darol, Mahmada dari Kajian).
Umar Vadillo, pakar ekonomi Islam dan cendekiawan Eropah, mengatakan bahawa system perbankan sama Islam atau konvesional, seluruhnya mengandungi riba’.Menurutnya bagaimana mungkin bank syariah tidak menganut system yang dianut kapitalisme? Sejak awal kehadirannya, seluruh bank Islam dibina dan dipromosikan para pelaku riba’.
Menurut Professor Abdullah Saeed, banyak terjadi percanggahan antara sasaran teori dan praktik di perbankan Islam. Berdasarkan hasil penelitian Abdullah, ditemui sejumlah masalah yang cukup mendasar iaitu:
1. kegagalan perlaksanaan perkongsian untung-rugi (PUR),
2. penggunaan hiyal sebagai alat untuk mengislamkan atau menghalalkan transaksi,
3. kewujudan Dewan Pengawas Syariah.
Kegagalan PUR ini ditandai dengan tidak memadainya jumlah besaran jumlah pembiayaan berasaskan PUR (musyarakah dan mudarabah) dengan bukan-PUR (murabahah, ijarah dan sebagainya) dengan nisbah 20-30%; 80-70%, hampir merata diseluruh dunia.
Kegagalan ini dapat bersifat
1. konseptual (conceptual)
2. struktural (structural)
3. operasi (operational)
Secara konseptual, PUR berasaskan risiko tetapi hal itu tidak dapat dijalankan sehinggakan bank Islam mengubahnya ke dalam pembiayaan dengan risiko minimal seperti murabahah (debt financing).
Secara structural, bank Islam pada umumnya bukan bank pelaburan tetapi bank dagang kerana sumber dana dan pembiayaannya berasal dari dana jangka pendek.
Secara operasi, amalan PUR seringkali juga tidak cekap, akhlak masyarakat tidak siap, banyaknya masalah teknikal atau birokrasi dan sulit mencari penguasa yang disyaratkan PUR.
Professor Abdullah juga menggunakan konsep fiksi hukum (hiyal) (berpura-pura mengikut hukum Islam) merujuk kepada hiyal kashsyaf. Fiksi hukum telah mempermudahkan terjadinya transaksi riba tetapi para pendukungnya menganggapnya sebagai transaksi sah (muamalah syariah). Kecenderungan ini terjadi pada transaksi ‘debt financing’(pembiayaan hutang). Islam membenarkan transaksi jual beli, tetapi apakah Islam membenarkan amalan murabahah seperti di perbankan Islam ketika ini? Iaitu memasukkan unsur pendapatan tetap dan waktu? Yang bersandarkan pada satu tahap bunga tertentu? Menurut M. Nur Birton, Staf Pengajar Fakulti Ekonomi Universiti Muhammadiyah, Jakarta, beliau berpendapat buku Professor Abdullah adalah buku yang cukup baik untuk menyedarkan dan mendorong banyak pihak supaya berhati-hati atas dakwaan “Islam” pada produk dan transaksi perbankan Islam sekarang ini. (Mengkaji konsistensi Teori dan Praktik Bank Syariah, akhbar “Kompas”, 13/6/04).
Professor Madya Dr. Zuhaimy mengatakan, “Bank Islam ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1984 dengan mendakwa bahawa pembayaran hutangnya bebas daripada riba’, maka ianya dikatakan mematuhi dasar Islam. Bahayanya dakwaan tersebut ialah, ia akan memberi kesimpulan bahawa sistem Islam sama dengan sistem kuffar iaitu Islam mengizinkan riba’ sedangkan kita tahu bahawa Allah mengharamkan riba’ dan menghalalkan jual beli. Ini akan menyebabkan kita terjebak di dalam perangkap untuk mengatakan bahawa riba itu sama dengan berjual beli.” (h. 11-12, Bank Islam Serupa Tapi Tak Sama (dengan bank konvensional)”, Majalah “Sinar”, Madinah Distributor).
Menurut Zuhaimy,”Nilai-nilai keuntungan yang diperolehi oleh bank Islam didapati hampir serupa dengan nilai faedah yang diperolehi oleh bank konvensional. Dapat dilihat disini bahawa pembayaran balik pinjamanyang dilaksanakan melalui kaedah Al-Bai’ Bithaman Ajil adalah sentiasa tetap. Berbanding kaedah konvensional, nilainya sentiasa dikompaun iaitu dikira semula faedahnya apabila setiap kali bayaran dibuat. Inilah yang menyebabkan sedikit perbezaan yang terjadi diantara nilai keuntungan yang diperolehi oleh bank Islam berbanding bank konvensional. Analisis terhadap data daripada 2 sistem ini memberikan perbezaan yang amat sedikit. Perbezaannya hanyalah dalam mentakrifkan kaedah. Dalam system perbankan Islam, ‘akad’ diperkenalkan dan ini merupakan satu perkara yang menjustifikasikan bahawa sistem yang dikatakan perbankan Islam itu tidak ada riba’ (h. 16). Dalam bank Islam ia memperkenalkan “akad” dalam jual beli tetapi adakah dibenarkan dalam Islam untuk mendakwa bahawa hanya dengan akad, sistem ini menjadi Islamik? Ia tidak jelas! Kita bimbang umat akan menerimanya sebagai Islamik (iaitu halal!) sedangkan pada hakikatnya ia adalah amalan riba’ (h. 17). Kajian ini membawa kita kepada banyak persoalan daripada jawapan. Apa yang diamalkan jika mengikut model matematik sudah boleh diputuskan bahawa sistem perbankan Islam juga mengamalkan riba’ (h. 16).
Zuhaimy menegaskan,”Perbandingan diantara kaedah Al-Bai’ Bithaman Ajil yang dilaksanakan oleh Bank Islam dengan kaedah konvensional tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi perolehan untung dan faedah.” Sistem perbankan Islam boleh dipersoalkan jika kita ambil satu urusan jual beli kereta. Kata seorang pelanggan datang ke bank Islam untuk membeli sebuah kereta, dengan kaedah yang sama bank Islam membeli kereta tersebut dengan harga tunai RM 50,000 dan seterusnya dengan persetujuan pelanggan tadi(terpaksalah setuju! ?), bank Islam menjual kereta tersebut padanya dengan harga RM 250,000 dalam pasaran yang sama dimana kereta tersebut dibeli. Sudah tentu urusan jual beli tersebut meragukan, tidak sah serta melanggar etika jual beli kerana ia telah melanggar harga pasaran. Malah kita boleh tanya, siapalah dengan akal yang waras akan membeli kereta dengan harga RM250,000 sedangkan harga pasaran hanya RM 50,000.
Perbankan Islam pada hakikatnya adalah sistem yang diambil dari Barat dan kemudian diubahsuai sedikit kononnya untuk mematuhi syariat Islam. Dr. Rosli bin Yaakop mengatakan “Operasi perbankan Islam serupa saja dengan perbankan konvensional iaitu mengambil deposit dan mengeluarkan kredit. Perbankan Islam kekal sebagai pemberi pinjaman sama seperti perbankan konvensional.” (Harakah, 16-30 Jun 2004). Menurut Dr. Muhammad Anwar (Professor Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa), ‘an analysis of the contemporary Islamic banking practices shows that time value of money is a part and parcel of all financing transactions’ ( Islamicity of Banking and Modes Of Islamic Banking , (2002), page 8, Penerbit Universiti Islam Antarabangsa. Dr. Rosli bin Yaakop menjelaskan bahawa ‘time value of money’ adalah riba’ dimana Bank Islam mengamalkan perkara yang serupa dengan bank konvensional. Contohnya, seorang yang meminjamkan RM 1 akan meminta sipeminjam membayar balik RM 1.20 setelah setahun. (Harakah, 16 – 30 Jun 2004).
Dalam Seminar Perniagaan Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia , mantan Pengarah Urusan Bank Islam , Datuk Dr. Abdul Halim Ismail mengatakan bahawa “model” ekonomi berkaitan dengan bank-bank dan institusi kewangan yang dirangka oleh ahli-ahli ekonomi Islam adalah tidak berasaskan Syariah. Beliau berkata,” Ini berlaku kerana model itu tidak mempunyai asas dalam Syariah tetapi ditiru daripada model-model ekonomi Barat dan Marxist. Beliau mengatakan bahawa walaupun ahli-ahli ekonomi Islam mendakwa mereka telah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah, namun mereka gagal mencipta satu model yang sesuai kerana beberapa sebab. Sebab-sebab itu menurut beliau ialah:
1. Kebanyakan mereka yang dipanggil ahli ekonomi Islam mendapat pendidikan ekonomi di universiti-universiti di Amerika Syarikat dan Eropah
2. Mereka mempunyai pemahaman yang lemah tentang Syariah,
3. Mereka tidak begitu memahami bahasa Al-Quran untuk membolehkan mereka menghalusi makna Al-Quran.
Dr. Abdul Halim mengatakan bahawa kajian tentang ekonomi Islam moden bermula hanya 20 tahun lalu, yang diterajui oleh ahli-ahli ekonomi Islam dari India, Pakistan dan Bangladesh, serta segelintir dari negara-negara Arab. “Boleh dikatakan hampir semuanya melanjutkan pelajaran dalam ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka adalah ahli-ahli ekonomi yang kemudian beralih menjadi ahli-ahli ekonomi Islam”. Menurutnya lagi, ahli-ahli ekonomi ini tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa tahap keIslaman bank-bank atau institusi kewangan akan berkurangan jika institusi ini tidak memakai model mereka. “Tetapi saya ingin menegaskan bahawa model yang mereka gariskan adalah berdasarkan kaedah ekonomi Barat. Sama ada berdasarkan konsep ekonomi kapitalisme atau Marxist. Hasilnya adalah sama yakni ia masih dianggap tidak Islam”. Dr. Abdul Halim menambah sesetengah ahli ekonomi Islam telah mengatakan bahawa sesetengah hukum Islam tentang transaksi perniagaan adalah “kejam dan tidak berkesan”. Disamping itu, mereka juga telah mengubah undang-undang hadd (uqubat) dan mengisytiharkan halal untuk perkara yang haram dan mengharamkan yang halal, tanpa sebarang asas dalam Syariah. (Economic Model Un-Islamic? New Straits Times,29/2/88)
Disamping itu, perbankan Islam melakukan penipuan contohnya mereka memberi pinjaman perumahan kepada pelanggan dan berpura-pura menyatakan dalam perjanjian jual beli (Sales and Purchase Aggrement) bahawa rumah yang dijualkan kepada pelanggan adalah milik mereka sedangkan hakikatnya rumah tersebut masih lagi milik pemaju dan tidak dibeli oleh bank. Inilah yang diungkapkan oleh Dr. Rosli bin Yaakop apabila beliau mengatakan bahawa bank Islam pun mesti menjana pulangan. Hendak mengenakan riba’ (time value of money) tidak boleh. Caranya ialah ‘to pose as traders by engaging in a fictitious purchase price to arrive at a selling price of the purchased item and then to sell the item to the customer at deferred price. So treat the selling price as a credit (loan) due’. (h. 9, Dr. Muhammad Anwar, Islamicity of Banking and Modes of Islamic Banking, Penerbit Universiti Islam Antarabangsa, 2002). Menurut Dr. Rosli, inilah asas kepada semua alat pembiayaan Islam yang diamalkan sekarang iaitu bai’ al-dayn (komoditi atau perkhidmatan dijual pada deffered price), murabahah (harga jualan dibayar kembali secara lump sum), bai’ bithaman al-ajil (harga jualan dibayar balik secara ansuran),ijarah (sewa pajak) atau pun bai’inah. (Harakah, 16-30 Jun 2004).
Istilah
Berikut adalah beberapa takrif yang dipakai oleh bank Islam dan ada diantaranya yang diselewengkan oleh mereka. Istilah ini diambil dari risalah “Produk-produk Pembiayaan Muamalat untuk Usahawan” yang dikeluarkan oleh Bank Muamalat:
1. Bai’inah
Merujuk kepada satu perjanjian dimana pihak bank akan menjual asset kepada pelanggan dengan harga belian termasuk jumlah pembiayaan beserta dengan kadar keuntungan mengikut pembiayaan secara tertangguh. Pihak bank akan membeli semula asset daripada pelanggan dengan harga tunai bersamaan dengan jumlah pembiayaan.
2. Bai’ Bithaman Ajil (BBA)
BBA ialah konsep bayaran tertangguh yang lazimnya secara ansuran. Mengikut kontrak jualan, pembayaran tertangguh dibuat keatas harga jualan yang termasuk kadar keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Ia digunakan oleh pihak bank agar dapat menawarkan pembiayaan jangka masa sederhana/panjang kepada pelanggan. (Penulis: Lazimnya bank menjual dengan harga yang terlalu tinggi dibandingkan dengan pasaran. Jika bank menyediakan pinjaman perumahan mengikut skim BBA, bank kononnya membeli rumah itu dan kemudian menjualnya kepada pembeli. Hakikatnya bank tidak pernah membeli rumah itu dan apa yang berlaku dalam perjanjian jual beli rumah yang ditandatangani antara bank dan peminjam ialah bank berlakon bahawa ia adalah pemilik rumah itu dan menjualnya kepada sipeminjam).
3. Bai’ Istisna’ (Jualan secara Tempahan)
Merujuk kepada jualan melalui pesanan untuk pembuatan barangan atau pembinaan bangunan. Pembeli /pemesan membuat tempahan dengan pembuat/pembina dimana tempahan harga dan cara pembayaran boleh dibuat mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak.
4. Bai’ Dayn (Perniagaan Hutang)
Merujuk kepada jualan hutang yang melibatkan jualan hutang dari satu pihak kepada satu pihak lain. Hutang yang dibenarkan untuk dijual ialah hutang yang terhasil daripada sesuatu urusniaga perdagangan yang tulin.
5. Ijarah
Merujuk kepada kontrak yang mengakibatkan pemindahan hak milik manfaat dengan bayaran. Kontrak dimana pemilik menyewa peralatan, bangunan atau aset lain kepada pelanggan /penyewa. Pelanggan akan menyewa dengan kadar sewa yang ditetapkan dimana kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Sesuatu yang dikontrakkan ialah manfaat bukannya barang/harta.
6. Kafalah (Jaminan Bank)
Merujuk kepada keadaan dimana pihak bank yang bertindak sebagai penjamin dengan memberi jaminan kepada pihak ketiga(pihak yang menerima faedah jaminan) untuk sesuatu transaksi antara orang yang dijamin dengan pihak ketiga misalnya transaksi hutang atau pembayaran.
7. Musyarakah
Merujuk kepada kontrak perkongsian/perjanjian/usahasama antara dua pihak atau lebih untuk tujuan berkongsi untung. Setiap pihak yang terlibat akan menyumbang modal, dan keuntungan akan dikongsi mengikut nisbah perkongsian untung yang dipersetujui dan ditetapkan. Kerugian akan ditanggung mengikut nisbah penyumbangan modal atau pegangan ekuiti setiap pihak.
8. Mudharabah
Usahasama antara pemilik modal(Ashabul Maal) dengan usahawan (Al-Mudharib) untuk menjalankan projek atau perniagaan. Dibawah konsep ini perjanjan boleh berlaku antara pendeposit (sebagai pemilik modal) dengan bank (sebagai usahawan). Segala kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemilik modal kecuali atas salahlaku atau ketidakcekapan /kecuaian usahawan dalam pengendalian perniagaan.
9. Murabahah
Bank menyediakan pembiayaan untuk keperluan pelanggan seperti modal pusingan untuk tujuan membeli stok dan inventori, alat ganti, bahan-bahan mentah dan barangan separuh siap. Bank membeli barangan yang diperlukan pelanggan dengan melantik pelanggan sebagai wakilnya menggunakan dana bank. Bank seterusnya menjual barang tersebut kepada pelanggan pada satu harga jualan yang meliputi harga asal barang dan kadar keuntungan bank yang sepatutnya diketahui oleh pelanggan bagi satu tempoh masa yang dipersetujui
10. Sewabeli (AITAB)
Merujuk kepada 2 kontrak berasingan :
- Al-Ijarah iaitu sewa atau pajakan;
- Al-Bai’ iaitu pembelian
Di dalam kontrak pertama, penyewa menyewa barang/kenderaan daripada bank mengikut perjanjian dengan persetujuan bersama dalam jangkamasa yang ditetapkan. Selepas tamat kontrak sewa, penyewa akan membeli barang/kenderaan daripada bank berdasarkan harga yang dipersetujui. Konsep ini juga boleh digunakan bagi pembiayaan barang keperluan pengguna. (Penulis: Kontrak sewabeli ini bertentangan dengan Islam kerana Rasulullah saw melarang melakukan 2 akad dalam satu. Walaupun pihak bank mendakwa terdapat 2 kontrak berasingan, hakikatnya dalam perjanjian, penyewa dimestikan membeli barang/kenderaan daripada bank selepas tamat kontrak sewa.)
11. Qardhul Hasan
Pinjaman tanpa dikenakan apa-apa keuntungan. Peminjam hanya membayar jumlah pinjaman asal. Walaubagaimanapun, peminjam boleh membayar pada jumlah yang lebih sebagai tanda penghargaan. (Penulis: Bank “Islam” melakukan penipuan dengan mengatakan mereka memberi pinjaman tanpa dikenakan keuntungan. Hakikatnya dalam perjanjian, bank memaksa peminjam membayar pinjaman itu lebih daripada modal asal dan pembayaran yang lebih itu kononnya dikatakan sebagai hadiah atau penghargaan.)
12. Wakalah
Merujuk kepada keadaan dimana seseorang melantik seorang yang lain untuk menjadi wakilnya.
Perkhidmatan yanag ditawarkan oleh bank “Islam” adalah perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank konvensional tetapi diselindungi oleh istilah-istilah Arab.
Ringkasan Kritikan Ke Atas Sistem Perbankan Islam
Professor Dr. Muhammad Anwar
Syarahan Perdana Ke 2
Disampaikan pada 31 Oktober 2000
Dewan Banquet, Aras 5, Kompleks Pusat,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Muhammad Anwar adalah Professor di Jabatan Ekonomi, Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebelum menyertai UIAM dalam tahun 1989, beliau dikaitkan dengan beberapa universiti di Pakistan dan Amerika sebagai pelajar dan sebagai anggota fakulti.Beliau belajar di Universiti New Hampshire (Amerika), Universiti Boston (Amerika), Universiti Colorodo (Amerika) dan Universiti Southern California, Universiti Punjab (Pakistan) dan Universiti Quaid-i-Azam (Pakistan). Walaupun beliau belajar di barat tetapi itu tidak mencemarkan pemikirannya. Syarahan beliau ini mencerminkan kejernihan pemikirannya dalam ekonomi Islam. Beliau memperolehi Sarjana Muda Sains, Sarjana Pendidikan Perniagaan, Sarjana Ekonomi, Sarjana Politik Ekonomi dan PhD dalam Ekonomi. Beliau telah memperolehi sijil dalam bahasa Arab dari Universiti Imam Muhammad Ibnu Saud, Pentadbiran Cukai untuk negara-negara membangun daripada Universiti Southern California dan Fiqih Untuk Ekonomi daripada UIA. Beliau pernah mengajar di 6 universiti di Amerika Syarikat dan Pakistan termasuk Universiti Massacussetts, Universiti Lowell, Universiti New Hampshire, New Hampshire College, Universiti Quaid-i-Azam dan Universiti Islam Antarabangsa Islamabad.
Abstrak
Ahli ekonomi, ahli perbankan, fuqaha dan ulama’ Islam lain yang berminat dalam bidang perbankan telah memberi tumpuan utama tentang persoalan sama ada adakah faedah adalah riba’. Beberapa pilihan telah ditemui dan telah dilaksanakan secara praktikal dengan jayanya oleh bank-bank Islam pada masa kini. Pilihan itu termasuk model-model perniagaan seperti murabahah, bai mu’ajjal, bai’ salam, bai inah dan sebagainya. Kajian ini mengenal pasti masalah utama ketika menggunakan instrumen perniagaan ini dalam bidang kewangan. Analisis ini juga mendedahkan beberapa percanggahan antara perlaksanaan instrumen-instrumen ini dan perintah-perintah dari Al-Quran dan Sunnah. Tumpuan ke atas riba’ dalam perbankan telah menyebabkan perkara yang lebih besar tidak dapat dikaji. Perkara tersebut adalah adakah sistem perbankan itu sendiri, yang terdiri daripada bank-bank pusat dan bank-bank komersial, tanpa mengira penggunaan faedah, adalah selaras dengan Islam atau tidak. Konsep Penggandaan Pengembangan Wang (Multi Expansion Multiplier) dan Teori Kuantiti Wang mendedahkan bahawa bank-bank pusat dan bank-bank komersial, tanpa mengambil kira penggunaan faedah, adalah selaras dengan Islam. Konsep Penggandaan Pengembangan Wang (Money Expansion Multiplier) dan Teori Kuantiti Wang mendedahkan bahawa bank-bank pusat dan bank-bank komersial merampas harta benda orang ramai dalam bentuk seignorage dengan mengembangkan bekalan wang. Hasil seperti itu dikutuk oleh ayat-ayat Al-Quran secara jelas. Oleh itu boleh disimpulkan bahawa keseluruhan sistem perbankan dan operasi bank-bank Islam masa kini boleh diragukan kesahihannya. Maka beberapa langkah dicadangkan untuk menstrukturkan semula demi menegakkan proses Islamisasi.
KeIslaman perbankan dan cara perbankan Islam
Pembiayaan kewangan di atas asas faedah telah diisytiharkan sebagai ragam kewangan yang tidak sah mengikut pandangan Islam. Maka beberapa institusi perbankan tanpa faedah yang dikenali sebagai bank-bank Islam, telah muncul di banyak negara sejak awal tahun 1960an yang memenuhi keperluan perbankan bagi penduduk muslim. Walaupun bank-bank itu telah berjaya menggantikan amalan faedah dengan cara-cara lain seperti mudarabah, musyarakah, bai murabahah, bai bithaman ajil, bai inah dan ijarah, keraguan masih lagi berbangkit tentang sama ada adakah ia mengikut Islam atau tidak. Di samping itu, kajian ini juga meneliti sama ada adakah peranan bank-bank pusat dan sistem perbankan kormesial mematuhi Islam atau tidak. Peranan kedua-dua bank pusat dan perbankan Islam didapati bercanggah dengan Al-Quran. Maka beberapa tindakan dibentangkan yang jika diamalkan akan memperkasakan keIslaman seluruh sistem perbankan Islam.
Analisis ini adalah seperti berikut. Sesetengah perkembangan intelektual dan perniagaan dilaporkan dalam seksyen 2 yang menunjukkan kejayaan yang hebat dalam bidang perbankan Islam. Dalam seksyan 3, keIslaman teknik-teknik kewangan yang dilaksanakan oleh bank-bank Islam dikaji berlandaskan takrif riba mengikut Al-Quran dan Sunnah. Kesahihan bank pusat dan system perbankan kormesial masing-masing dibincangkan dalam seksyen 4 dan 5 manakala langkah-langkah untuk memperkukuhkan pengIslaman dibentangkan dalam seksyen terakhir.
Kemajuan Intelektual dan Perniagaan Ke Arah Perbankan Islam:
Satu Gambaran Menyeluruh
Pengisytiharan faedah sebagai riba’ dan seterusnya kajian teknik-teknik tanpa riba’ daripada karya fiqh untuk menggantikan operasi perbankan telah memberi laluan kepada kemunculan bank-bank Islam yang pada umumnya menunjukan kejayaan besar. Kejayaan intelektual dan perniagaan yang merangkumi perdebatan tentang persoalan sama ada faedah adalah riba’, penemuan teknik-teknik bebas riba’ untuk perbankan dan profil perniagaan bank-bank Islam dilaporkan secara ringkas disini.
Perdebatan Tentang Riba’
Semua orang yang berurusan dengan bank sebagai penyimpan deposit dan juga sebagai peminjam sedar tentang amalan faedah dalam operasi perbankan. Kesamaan faedah dengan riba’ secara semulajadi membuatkan muslim yang bertakwa menjadi resah kerana pengharaman riba’ oleh Al-Quran dalam ayat berikut yang bermaksud “ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba’ (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba’) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasulnya akan memerangimu.” Al-Baqarah, 2:278-279). Ini menunjukkan pentingnya perdebatan yang berlaku dikalangan pendukung-pendukung dan penentang-penentang ‘faedah’ bank terhadap persoalan sama ada faedah itu adalah riba’. Banyak kajian telah membincangkan perkara ini dan para pengkaji telah membentangkan pandangan yang bertentangan dalam hal ini. Sekumpulan ulama berpendapat bahawa faedah itu bukan riba’. Misalnya, Hashmi mendakwa bahawa faedah itu tidak lain adalah mudarabah (Pakistan Legal Decision, Supreme Court Judgements on Riba’, Lahore PLD Publishers, 2000, 654) manakala Tantawi, Sheikh Al-Azhar, mengisytiharkan bahawa perbankan berasaskan faedah adalah sama dengan mudarabah dan murabahah. (Ini ternyata melanggar hukum Allah swt yang melarang riba’). Walaubagaimanapun, kebanyakkan penulis masa kini berpendapat bahawa faedah adalah riba’. Perbincangan menyeluruh tentang pandangan-pandangan yang diutarakan dan alasan-alasan yang diberi oleh pelbagai pihak terkandung dalam Keputusan Mahkamah Shariat Persekutuan Pakistan (PLD,1992) dan Keputusan Mahkamah Agung tentang Riba’ (PLD, 2000).
Penemuan Tentang Kaedah Bebas Faedah untuk Pembiayaan
Pengisytiharan faedah sebagai riba telah menggalakkan usaha untuk mencari kaedah yang bebas dari faedah untuk menjalankan perbankan. Usaha ini telah menghasilkan penemuan 21 kaedah operasional untuk menjalankan semua jenis transaksi perbankan yang bebas dari faedah. Kaedah-kaedah itu termasuk mudarabah, musyarakah, mutnaqisah, ijarah, ijarah wa iktina, murabahah, bai salam, bai,mu’ajjal(bai bithaman ajil), bai istisna, bai inah, muzara’a, musaqah, qardul hasan, wakala, caj perkhidmatan, jualan keatas skim ansuran, caj pembangunan, penglibatan ekuiti, jualan dan belian keatas saham, jualan bil-bil perniagaan, dan pembiayaan melalui auqaf. Institusi-institusi yang memberikan pembiayaan berdasarkan kaedah-kaedah ini dikenali sebagai bank-bank Islam. Perubahan nama daripada perbankan menjadi perbankan Islam mewakili pencapaian psikologi yang kelihatannya berbaloi sebagai peserta-peserta dalam industri perbankan yang kini menggunakan istilah Islam dalam perbincangan bisnes mereka. Ini adalah langkah penting ke arah pengIslaman perbankan walaupun seperti yang ditunjukkan di bawah, Ia hanyalah perubahan bentuk dan bukan perubahan isi kandungan bisnes perbankan.
Idea penggantian faedah telah dikemukakan kerana terdapat pandangan yang tegas terhadap riba’ dan kesetaraan faedah dengan riba’. Maka pendukung-pendukung perbankan Islam cuba menghuraikan masalah-masalah praktikal dan mencari penyelesaian terhadap kesukaran yang mungkin timbul jika faedah ditolak. Pendekatan yang dipakai ialah mengekalkan struktur perbankan dengan semua kesan-kesannya yang merumitkan kecuali faedah. Dalam usaha mereka melakukan sedemikian, operational technicalities telah mengatasi perkara-perkara lain yang memerlukan perhatian. Keadaan ini patut dikecam kerana penggunaan kaedah pragmatik itu telah mencipta perbankan Islam, yang seperti ditunjukkan dibawah, juga termasuk dalam kategori riba’. Walaubagaimanapun, apa sahaja yang telah dicapai boleh dipuji kerana kejayaan dalam kemajuannya mengatasi sistem konvensionalnya (sistem yang sepenuhnya menggunakan riba’) menunjukkan wujudnya keinginan terhadap sistem perbankan Islam yang berbeza dengan sistem berasas faedah pada masa kini (konvensional).
Profil Perniagaan Bank-Bank Islam
Aplikasi kaedah Islam yang betul akan dapat membezakan antara bank-bank Islam dengan bank-bank konvensional. Hakikatnya ia tidak berlaku kerana bank-bank Islam yang sepatutnya menjadi peniaga dan usahawan, memanipulasi kaedah-kaedah kewangan dengan cara mengekalkan identiti mereka sebagai peminjam dan bukan sebagai usahawan.
Nilai Masa Bagi Wang dan Riba’
Riba’ lazimnya diklasifikasikan dalam 2 jenis:
a) Riba’ al-Fadl
b) Riba’ al-Nasia
Unsur yang sama dalam kedua-dua jenis riba melibatkan pertukaran 2 komoditi yang serupa tetapi dalam kuantiti yang berbeza. Perbezaan yang ditanggung oleh satu pihak dikenali sebagai riba’. Kajian ke atas Hadis dan ayat-ayat Al-Quran berkaitan dengan riba’ menunjukkan sebarang keuntungan yang diperolehi daripada pertukaran 2 komoditi yang serupa dalam kuantiti yang berbeza adalah riba’.Takrif ini dipakai untuk kontrak-kontrak pertukaran yang dilakukan pada masa itu juga(spot exchanges) mahu pun yang dilakukan secara tertunda (deferred). Riba’ yang dilakukan pada masa itu juga (spot exchanges) ke atas 2 komoditi yang sama adalah jelas dalam banyak ahadith (jama’ bagi hadis). Misalnya Rasulullah saw bersabda,” Emas untuk emas, perak untuk perak, gandum untuk gandum, barli untuk barli, kurma untuk kurma, garam untuk garam, yang sejenis untuk yang sejenis, yang serupa untuk yang serupa, tangan ke tangan. Jika jenis ini berbeza, maka juallah sebagaimana yang kamu inginkan, jika ia tangan ke tangan” (Riwayat Muslim). Maka sebarang keuntungan yang dihasilkan dalam pertukaran yang berlaku pada masa itu juga (tangan ke tangan) ke atas komoditi-komoditi yang serupa, seperti kurma yang berbeza mutunya, dalam kuantiti yang berbeza disebut riba dan dilarang Rasulullah saw.
Riba’ dalam pertukaran tertunda ke atas 2 komoditi yang sama dikupas dalam Al-Quran. Allah swt berfirman dalam Al-Quran,”Dan jika kamu bertaubat(dari pengambilan riba’), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak(pula) dianiaya.” (Al-Baqarah, 2:279). Pertukaran tertunda lazimnya menghasilkan kredit dan pinjaman. Ayat itu menunjukkan bahawa tidak ada riba’ jika para kreditor hanya mengambil principal amount daripada debtor. Ini bermakna , apa sahaja komoditi yang diperniagakan dalam pertukaran tertunda, maka komoditi itu sepatutnya dipulangkan dalam jumlah yang asal tidak kira tempoh hutang dan sebarang amaun yang dicaj melebihi jumlah asal adalah riba’. Wang diperlakukan sebagai komoditi dalam transaksi pertukaran kerana emas dan perak adalah wang ketika kedatangan Islam. Oleh itu jika hutang itu adalah dalam bentuk wang, maka peminjam hanya berhak menerima jumlah yang dipinjamkan sahaja. Jika tidak, riba’ akan terjadi. Maka adalah jelas bahawa riba dalam pertukaran tertunda adalah caj yang dikenakan kerana tempoh hutang. Dalam karya ekonomi, caj ini juga dikenali sebagai nilai masa bagi wang yang mewakili sewaan ke atas penggunaan wang untuk suatu tempoh tertentu. Itulah sebabnya faedah yang mewakili nilai masa bagi wang, diharamkan. Kedudukan ini disahkan oleh ayat,”Dan jika (orang berhutang itu) dalam keadaan kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan sedekahkan (sebahagian atau semua hutang itu) lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Al-Baqarah, 2: 280). Maka seseorang mesti membuat kesimpulan bahawa berdasarkan kepada Al-Quran, nilai masa bagi wang adalah riba’. Satu analisis ke atas amalan perbankan Islam masa kini menunjukkan bahawa nilai masa bagi wang adalah perkara yang mesti berlaku bagi semua transaksi kewangan.
Analisis Terhadap Amalan Perbankan Islam
Seperti yang diperkatakan diatas ,bank-bank Islam banyak bergantung kepada kaedah-kaedah perniagaan seperti Murabahah dan Bai bithaman Ajil, untuk membiayai keperluan pelanggan-pelanggan mereka. Penggantungan yang terlalu banyak ke atas kaedah-kaedah perniagaan itu masuk akal kerana 2 sebab:
1) Ia menunjukkan kepatuhan terhadap perintah,” Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’” (Al-Baqarah, 2: 275) dan “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka diantara kamu.” (AL-Baqarah 2: 29)
2) Adalah selesa untuk mengenakan caj ke atas nilai masa bagi wang (time value of money) atas nama jidar (margin) keuntungan ke atas pembiayaan mereka manggantikan faedah yang dikenakan oleh bank-bank konvensional.
Begitu juga pembiayaan mudarabah yang diamalkan diperingkat awal Islam dan diamalkan oleh Rasulullah saw sendiri telah dikembangkan menjadi mudarabah ‘serampang dua mata’ (two tier) kerana ia akan membolehkan bank untuk mendapatkan keuntungan dalam konteks nilai masa bagi wang (time value of money). Walaubagaimanapun ia tidak popular kerana risikonya adalah lebih tinggi dalam mudarabah dibandingkan dengan murabahah. Penyalahgunaan yang serupa dikesan dalam penggunaan prinsip-prinsip Islam yang lain yang dilaksanakan oleh bank-bank Islam. Maka amalan bank-bank Islam masih lagi diragukan kesahihannya. Walaubagaimana pun satu analisis terperinci tentang prinsip-prinsip penting yang dilaksanakan oleh bank-bank Islam akan dikupas.
Peranan asas bank adalah untuk mengumpulkan deposit pada kadar yang lebih murah “to deploy the same’ pada kadar yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi pengembangan (spread). Pertukaran 2 komoditi yang serupa atau 2 komoditi yang berbeza boleh menghasilkan pendapatan. Jika pertukaran bermanfaat ke atas 2 komoditi adalah riba’, maka pertukaran ke atas 2 komoditi yang berbeza mestilah dikenali sebagai jualan kerana “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Al-Baqarah, 2: 275). Oleh itu, perolehan keuntungan yang sah mesti melibatkan pertukaran 2 komoditi yang berbeza. Jika tidak perolehan itu akan menjadi riba’.
Kedua-dua jenis perbankan, Islam dan berasaskan faedah, memberi kredit untuk mendapatkan pulangan. Bank-bank Islam tidak terlibat dalam kegiatan perniagaan kerana mereka tidak berminat untuk menjadi usahawan. Sebaliknya mereka memilih untuk meminjamkan wang kepada usahawan seperti bank-bank yang berasaskan faedah. Oleh itu mereka mesti mencari cara untuk mengenakan bayaran ke atas nilai masa bagi wang, seperti faedah. Satu cara adalah dengan berlakon sebagai peniaga yang terlibat dalam pembelian palsu, menambah unsur keuntungan ke atas harga belian supaya mencapai harga jualan bagi barang yang dibeli dan kemudian menjual barang itu kepada pelanggan pada harga tertunda. Maka harga jualan diperlakukan sebagai kredit(pinjaman) yang perlu dibayar. Perbezaan antara harga jualan dengan harga belian adalah nilai masa bagi wang yang setara dengan faedah. Inilah intipati semua transaksi berasaskan kaedah-kaedah perniagaan termasuk bai ad-dayn, murabahah, bai bithaman ajil, ijarah dan bai inah. Perbezaannya ialah bank-bank berasaskan faedah memperlakukan amaun yang dikehadapankan (setara dengan harga belian) sebagai pinjaman utama manakala bank-bank Islam memperlakukan amaun yang perlu dibayar setelah mencapai kematangan (harga jualan) sebagai pinjaman utama. Walaubagaimana pun, mana-mana pengamat tidak ragu lagi akan mencapai persetujuan bahawa prinsipal mestilah amaun yang dikehadapankan oleh bank untuk manfaat pelanggan dan bukannya amaun yang dijangka akan diperolehi oleh bank. Melalui cara ini jelaslah bahawa keuntungan yang ditambah kepada principal tidak lain dan tidak bukan adalah riba’. Adalah benar juga bahawa bank-bank Islam menggunakan formula-formula dan jadual-jadual anuiti yang sama dengan yang digunakan oleh bank-bank yang berasaskan faedah untuk mengira jumlah yang perlu dibayar dan skim ansuran bulanan untuk transaksi (misalnya) bai bithaman ajil dan ijarah.
Pendek kata, pinjaman dari bank Islam mewakili jumlah yang dikehadapankan termasuk nilai masa bagi wang. Lazimnya pelanggan diminta untuk membeli item yang dikehendaki tetapi di atas nama bank. Jika harga jualan (hutang) boleh dibayar sekaligus, maka transaksi (di Malaysia) dikenali sebagai murabahah (dan bukan bai mu’ajjal). Jika hutang itu boleh dibayar secara ansuran maka transaksi itu dikenali sebagai bai bithaman ajil. Kadangkala pelanggan cenderung berminat untuk membeli penggunaan komoditi itu dan bukannya membeli komoditi itu sendiri. Maka kegunaan sesuatu komoditi boleh dijual kepada pelanggan oleh bank Islam dibawah kontrak ijarah (lease). Terdapat 2 jenis ijarah: 1) Operating lease dan 2) Financial lease. Bank-bank hanya mengamalkan financial lease kerana ia adalah selesa untuk memasukkan nilai masa bagi wang, sebagaimana dalam kes bai bithaman ajil, supaya amaun yang dibayar untuk financial lease menjadi hutang yang perlu dibayar.
Kesemua jenis transaksi pembiayaan ini jatuh dalam kategori bai ad-dayn kerana bai ad-dayn merujuk kepada transksi yang melibatkan pembelian komoditi (atau perkhidmatan) yang dibeli pada harga yang tertunda. Dyan dibenarkan dalam Al-Quran. Di Malaysia, bai ad-dayn merujuk kepada keadaan penjualan dan pembelian hutang, tanpa melibatkan komoditi (Bank Islam Malaysia Berhad,1994, 104-105). Para ulama’ diluar Malaysia tidak menerima tafsiran ini kerana sebuah hadis sahih melarang penjualan kali bil kali iaitu hutang terhadap hutang (PLD, 2000, 566)
Kadangkala bank mungkin membeli sebuah item daripada pelanggan itu sendiri (dan bukannya meminta beliau membeli sesuatu di atas nama bank) pada harga yang lebih rendah yang dibayar pada masa itu juga dan menjualnya kembali kepada pelanggan sama pada harga yang tertunda. Ini adalah transaksi bai inah. Dalam usaha untuk mengendalikan transaksi bai inah, bank mungkin menterbalikkan peranan pembelian dan penjualan. Iaitu bank mungkin menjual sesuatu kepada pelanggan pada harga tertunda dan membelinya balik daripada pelanggan yang sama pada harga spot(pada masa itu juga) yang lebih rendah. Bai inah dilarang berdasarkan hadith sahih yang merujuk kepada perbualan antara seorang muslimah, Ummu Muhibbah, dan Aisyah r.a. Muslimah itu menjual satu barang kepada Zaid bin Arqam r.a pada harga tertunda 800 dirham. Kemudian beliau menjual barang itu dan muslimah itu membeli barang yang sama pada harga 600 dirham. Apabila mendengarkan perkara ini, Aisyah marah dan berkata ia adalah satu jual beli yang salah. Dia akan memaklumkan kepada Zaid bin Arqam bahawa Zaid telah mensia-siakan haji dan jihadnya apabila dia bertindak sedemikian rupa. (Kakakhel, 1984, 10).
Perhatikan terdapat 2 pertukaran berbeza tetapi kedua-duanya dilarang kerana kedua-dua pertukaran itu menjadi satu pertukaran bermanfaat melibatkan wang dengan wang. Komoditi mungkin muncul dalam perkara tersebut (brought into the picture) untuk meletakkan label perniagaan ke atas transaksi pinjaman yang menghasilkan riba’. JIka bai’ inah dilarang kerana alasan ini maka transaksi-transaksi lain seperti murabahah yang melibatkan hutang juga tertakluk kepada larangan
Imam Awzai meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “ Akan datang suatu masa apabila manusia akan menghalalkan riba’ dibawah nama perniagaan” (PLD, 2000,518). Masalah utama dalam setiap transaksi ini ialah tempoh nilai wang (riba’) yang memasuki transaksi perbankan setiap kali alat perniagaan (trading device) dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan kewangan. Salah satu masalah yang dihadapi dalam pengIslaman sistem perbankan, seperti yang dihujahkan oleh Ebrahim Sidat, adalah orang menganggap murabahah sebagai alat kewangan dan bukan mempertimbangkannya sebagai alat perniagaan (trading device) (PLD, 2000,373).
Peguam dan solicitor menyiapkan dokumentasi yang canggih atas perintah bank dan bukannya penghutang(debtor). Tetapi kos mendokumentasi dikenakan ke atas penghutang kerana “menyediakan dokumen pinjaman menjadi tanggungjawab peminjam yang semula jadi. Bermaksud jika dokumentasi melibatkan perbelanjaan, perbelanjaan itu perlu ditanggung oleh peminjam.” (PLD,2000,315)
Kesepakatan dalam perniagaan adalah suatu keadaan yang diperintahkan dalam Al-Quran dan ia tidak boleh dilanggar. Walaubagaimana pun, untuk memenuhi keadaan ini, tidak cukup untuk menghalalkan setiap transaksi. Adalah diketahui ramai bahawa transaksi-transaksi yang melibatkan riba’, perjudian dan seks yang haram, adalah diharamkan walaupun dalam keadaan pembeli dan penjual sama-sama redha (an taradin minkum). Dalam kes murabahah, misalnya, hakikat bahawa pelanggan bersetuju untuk membeli sesuatu (katakan rumah) daripada bank Islam pada harga yang dinaikkan terlalu tinggi iaitu RM 227,644.80 sedangkan beliau membeli rumah itu pada harga yang terlalu rendah iaitu RM 100,000 bagi pihak bank daripada pasaran adalah dengan sendirinya menjadi bukti bahawa transaksi itu dilakukan dalam keadaan terpaksa kerana pelanggan tidak memiliki dana untuk membeli rumah itu. Cara seperti ini menyebabkan beliau menanggung hutang terhadap nilai masa wang RM 127,644.80. Oleh itu, keadaan dimana bank Islam dan pelanggannya sama-sama redha dalam transaksi itu yang mengandungi bayaran yang jauh mengatasi harga pasaran disebabkan pertimbangan masa, bukanlah sebab yang boleh diterima untuk mengesahkan transaksi itu. Tambahan lagi di Malaysia, pelanggan-pelanggan berpeluang menikmati diskaun, yang dikira berdasarkan formula yang sama yang digunakan untuk mengira keuntungan bank untuk tempoh pembayaran awal jika hutang itu dijelaskan sebelum tempohnya. Ini mengesahkan bahawa tidak ada perbezaan diantara keuntungan yang dikenakan oleh bank-bank Islam dan faedah yang dikenakan oleh bank-bank konvensional. Maka mengambil kira semua perkara, bank-bank Islam beroperasi mengikut asas nilai masa wang (time value of money) dan itu sudah tentu adalah riba’.
Bank-bank mungkin memperolehi deposit berasaskan mudarabah dan memberinya kepada pihak ketiga untuk menjalankan perniagaan atas dasar menjalankan satu lagi mudarabah. Ini dikenali sebagai mudarabah 2-tingkat dalam literature. Melalui cara ini bank-bank dapat memperolehi manfaat dengan cara menukar wang dengan wang dalam jumlah yang berbeza. Jika bank tidak berbuat demikian, ia sendiri terpaksa menyalurkan deposit secara langsung ke dalam kegiatan perniagaan untuk mendapat keuntungan. Pembiayaan mudarabah adalah suatu perkara yang lazim dilakukan ketika zaman Rasulullah saw. Walaubagaimana pun, tidak ada satu kes pun (dalam zaman Rasulullah saw) yang boleh dikesan dimana satu pihak memperolehi dana mudarabah dari satu pihak dan memberi dana itu kepada pihak ke 3 sebagai mudarabah untuk menjalankan perniagaan. Mengenai hal ini, Khattab menulis,”fuqaha bersetuju bahawa seorang mudarib tidak berhak untuk memberi wang mudarabah ke pihak ke 3 untuk menjalankan perniagaan” (Khattab, Muhammad Sharfuddin, 1998, Sistem Mudarabah dalam Fiqh Islam, Diterjemahkan ke dalam bahasa Urdu oleh Muhammad Tahir Mansuri, Islamabad, International Institute of Islamic Economic, International Islamic University). Wajarlah, kesahihan mudarabah 2-tingkat dipersoalkan.
Dalam perbankan Islam, qardul hasan merujuk kepada pinjaman faedah sifar. Mengikut pandangan ini, hasan dhilat sebagai faedah yang diketepikan yang mungkin diperolehi oleh bank. Memanggil faedah sebagai hasan adalah satu masalah kerana ia bermakna pengiktirafan faedah sebagai hasil pendapatan yang sah. Qardul hasan disebut dalam Al-Quran sekurang-kurangnya 7 kali. Al-Quran menggunakannya untuk bermaksud membelanjakan di jalan Allah kerana setiap kali ia diperintahkan untuk “meminjamkan qardul hasan kepada Allah.” Maka ia merujuk kepada pinjaman daripada orang ramai kepada Allah sahaja. Malah, hasan merujuk kepada prinsip pengorbanan, bukannya faedah yang dikorbankan apabila pinjaman diberi kepada Allah. Dalam perkataan lain, qardhul hasan adalah suatu bentuk sedekah (Perbandingan antara isi kandungan Al-Baqarah: 261 dengan mana-mana ayat tentang Qardhul Hasan menjamin bahawa qardhul hasan tidak mewakili apa-apa kecuali perbelanjaan ( infaq) di jalan Allah). Ia tidak mewakili pinjaman dikalangan orang ramai. Oleh itu, dicadangkan supaya penggunaan istilah “Qardhul Hasan” untuk pinjaman faedah sifar sepatutnya dielakkan.
Prinsip Hasanul ada (pembayaran semula yang lebih baik) merujuk kepada pembayaran balik pinjaman dengan memberi tambahan secara sukarela kepada peminjam. Membayar amaun tambahan secara sukarela ke atas jumlah yang dipinjamkan digalakkan oleh Rasulullah saw dan Baginda sendiri menunjukkan contoh teladan dengan membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam (PLD, 1992, 70). Dalam amalan perbankan Islam, bayaran sukarela telah diinstitusikan sehingga ia memiliki kedudukan faedah. Misalnya, bank-bank Islam secara tetap membayar pulangan ke atas deposit akaun semasa dan akaun simpanan, seperti bank-bank konvensional membayar faedah. Dengan cara yang serupa juga, kerajaan Malaysia secara tetap membayar pulangan kepada pemegang Sekuriti Pelaburan Kerajaan yang dikeluarkan berasaskan qardhul hasan. Maka perbankan Islam telah mengambil amalan faedah diatas nama pembayaran ‘sukarela’ oleh peminjam kepada pemberi pinjaman.
16 April 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan