19 Mei 2010

Laksamana Mohamad Amin

Laksamana Mohamad Amin adalah seorang pembesar Melayu Kesultanan Perak. Beliau bersama-sama Ngah Ibrahim Jaafar dan Datuk Maharajalela, berganding bahu menentang penjajahan British. Laksamana Mohamad Amin adalah bapa mentua kepada Ngah Ibrahim.


Penentangan itu memuncak apabila rombongan Residen British, James W. W. Birch menampal risalah cukai di Perak dan ia membawa kepada pembunuhan residen itu oleh Si-Putum ketika mandi di Sungai Perak. (Si-Putum adalah orang asli yang sangat taat kepada Datuk Maharajalela dan dihukum gantung bersama-sama Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela).


Nama Laksamana Mohamad Amin tercatat dalam buku harian tulisan James W. W. Birch dan Frank Swettenham. Di dalam buku Sketches and Stories of Malaya, Frank Swettenham menggambarkan Laksamana Mohamad Amin sebagai seorang bertubuh besar yang memeluk Datuk Syahbandar sementara rakannya menikam Datuk Syahbandar dengan keris.

Tetapi Datuk Syahbandar dikatakan mempunyai ilmu kebal. Menyedari hakikat ini, Laksamana Mohamad Amin mencabut keris Datuk Syahbandar dari pinggangnya dan berjaya membunuh Datuk Syahbandar. Dalam laporannya berikutan pembunuhan James W. W. Birch, Frank Swettenham menerangkan bahawa Laksamana Mohamad Amin mengikhtiarkan supaya beliau (Frank Swettenham) mendarat di Bota, untuk dibunuh.

Menteri Larut, Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin tidak dijatuhkan hukuman mati kerana ketiadaan bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan James W. W. Birch. Oleh kerana Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin masih menjadi ancaman kepada penguasaan British di Perak, mereka berdua dibuang daerah ke Kepulauan Seychelles bersama-sama Sultan Abdullah.


Setelah membuat rayuan dan bantahan kepada Ratu Victoria, Sultan Abdullah diberikan keampunan dan dibenarkan pulang ke Perak. Tetapi Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin tidak diberikan pulang ke Perak, kerana British masih risaukan pengaruh mereka yang akan menjejaskan pegangan British ke atas negeri Perak. Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin dipindahkan ke Sarawak dan kemudiannya ke Singapura.

Laksamana Mohamad Amin meninggal dunia dalam tahun 1908 di Singapura dan dikebumikan di sana. Dalam tahun 2006, jenazah Laksamana Mohamad Amin disemadikan semula di Makam Diraja, Bukit Chandan. Walaupun beliau bukan keturunan Raja, Sultan Azlan Shah memberikan perkenan untuk persemadian itu.

Kapal Korvet Tentera Laut DiRaja Malaysia F136 KD Laksamana Mohamad Amin dinamakan sempena nama pahlawan Perak tersebut. F136 KD Laksamana Mohamad Amin dibina oleh limbungan Ficantieri di Breda, Mestre, Itali pada 22 Mac 1982 dan dilancarkan pada 5 Julai 1983.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Free Web Hosting